Dec 19, 2009

Lesson from “Ammar Bin Yasir”-(Part 2)

Pada suatu hari ketika rasulullah saw mengunjungi mereka (keluarga Yasir), Ammar memanggilnya, katanya:
“wahai rasulullah azab yang kami deritai telah sampai ke puncak”.
Maka seru rasulullah saw:
“sabarlah wahai Abal Yaqdhan, sabarlah wahai keluarga Yasir, tempat yang dijanjikan Allah bagi kalian ialah syurga”

Penceritaan Sahabat Terhadap Penyeksaan Ammar
Seksaan yang dialami Ammar dilukiskan oleh sahabat-sahabatnya dalam beberapa riwayat. Berkata Amar b Hakam:
“Amar itu diseksa sehingga dia tidak menyedari apa yang telah diucapkannya”

Berkata pula Ammar b Maimun:
“orang-orang musyrik membakar Ammar b Yasir dengan api. Maka sedang rasulullah saw melewati tempat dimana Ammar dibakar, rasullah saw memegang kepalanya dengan tangan beliau sambil bersabda:”
“hai api, jadilah kamu sejuk dingin di tubuh Ammar sebagaimana dulu kamu sejuk dingin di tubuh Ibrahim..!”

Bagaimanapun juga semua seksaan itu tidaklah dapat menekan jiwa dan semangatnya terhadap islam.
Pada suatu hari, kafir-kafir quraisy yang hampir saja berputus asa terhadap Ammar memutuskan untuk menyeksa Ammar dengan seksaan yang lebih lagi dahsyat yang pernah dikenakan sebelum ini. Badan Ammar dicacah dengan besi panas, disalib di atas pasir panas dengan ditindih batu bara merah yang dibakar, bahkan Ammar juga turut ditenggelamkan ke dalam air hingga sesak nafas dan menggelupas kulitnya yang penuh dengan luka.

Pada hari itu ketika Ammar tidak sedarkan diri lagi kerana seksaan yang demikian berat, kafir-kafir quraisy itu berkata kepadanya:

“pujalah olehmu tuhan-tuhan kami!”, lalu diajarkan mereka kepadanya kata-kata pujaan itu. Ammar yang tidak sedarkan diri mengikuti mereka tanpa menyedari apa yang telah diucapkannya.

Lantas setelah seksaan terhadapnya diberhentikan, Ammar kembali sedar pada keadaan asalnya. Beliau mula mengingati kembali setiap lafaz yang telah dilafazkannya secara paksa. Maka hilanglah akalnya dan terbayanglah di ruang matanya betapa besar kesalahan yang telah dilakukannya, satu dosa besar yang tidak dapat ditebus dan diampuni lagi. Di saat itu Ammar mula menyangka bahawa jiwanya telah menyerah kalah, maka dukacita dan sesal kecewa hampir saja menghabiskan tenaga dan melenyapkan nyawanya...

Tetapi iradat Allah yang maha agung lagi maha tinggi telah memutuskan agar memutuskan peristiwa yang mengharukan itu mencapai titik kesudahannya. Rasulullah kemudian datang mendekati Ammar dan menjabat tangannya sambil menyampaikan ucapan selamat kepadanya:

“bangunlah hai pahlawan...tidak ada sesalan atasmu dan tidak ada kecacatan lagi atasmu”

Ketika rasulullah saw menemui sahabatnya itu, didapati Ammar sedang menangis, maka diusapnyalah tangis Ammar itu dengan tangan beliau seraya bersabda:
“orang-orang kafir itu telah menyiksamu dan meneggelamkanmu ke dalam air sampai kamu mengucapkan begini dan begitu..?”

Ujar Ammar sambil menangis:
“benar wahai rasulullah”

Maka sabda rasulullah saw:
“jika mereka memaksamu lagi, tidak apa, ucapkanlah seperti apa kamu katakan tadi...”
Lalu dibacakan rasulullah kepada Ammar ayat mulia berikut:

“kecuali orang yang dipaksa, sedang hatinya tetap teguh dalam keimanan...” (16:106)

Kembalilah Ammar diliputi ketenangan dan penderaan yang menimpa tubuhnya bertubi-tubi tidak terasa lagi. Apa jua yang akan terjadi tidak akan dipedulikannya lagi. Jiwanya bahagia, keimanannya di pihak yang benar. Ucapannya yang dikeluarkan secara terpaksa itu dijamin bebas oleh Al-Quran, maka apa lagi yang hendak dirisaukannya...

To be continue in Lesson from “Ammar Bin Yasir”-(Part 3).

No comments:

Post a Comment