Dec 23, 2012

Kehidupan & Perkahwinan Bukan Satu Mainan

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirahmanirahim
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

 
Saya suka memerhatikan keadaan sekeliling.
 
Hari ini saya menghadiri satu kenduri kahwin berdekatan rumah. Ramai orang yang datang, bermacam gaya dan ragam. Disebalik ragam yang pelbagai ini, timbul berjuta kerisauan dan kesal yang amat menebal dalam hati saya.
 
Adakah manusia berubah seiring perubahan zaman?
Semakin moden zaman ini semakin moden juga manusia. Amat sesak untuk menyuarakan apa yang ada di benak hati saya. Saya khuatir dan takut. Takut Allah menguji saya dengan perkara yang sama... Nauzubillah.
 
Apakah kita melihat perkahwinan sebagai satu platform yang suka-suka? Kebanyakan kita terlalu banyak bermain dan teramat sambil lewa apabila timbul soal hidup & kahwin. Apa tujuan hidup kita sebenarnya? apa yang kita kejarkan? Dimanakah akal yang sepatutnya berfikir?
 
Kerana terlalu merajakan hawa nafsu, akal kita menjadi haus, tumpul dan semput untuk memikirkan Allah, dan memenuhi keperluan Allah.
 
Dimanakah hilangnya kematangan kita sebagai seorang hamba? Jangan bermain-main dengan soalan mencari pasangan hidup dan mengemudi hidup dengan pasangan. Umat Islam harus amat serius tentang soal sebegini.
 
 
Perkahwinan itu akan melahirkan satu komuniti. Komuniti ini adalah anak-anak yang bakal lahir dari rahim seorang wanita. Iman adalah sesuatu yang tidak dapat diwarisi, tapi iman adalah sesuatu yang harus dan dapat di pupuk.
 
Bila berkahwin, carilah pasangan yang benar-benar berpegang kepada Allah dan Rasulullah. Harus Ingat inilah matlamat hidup kita. Hidup sesudah kahwin samalah jua mengemudi sebuah kapal yang hilang kompasnya dalam pengemudian yang berbillion batu. Jauh dari tempat asal kita berpijak.
 
Memilih pasangan yang benar-benar berpegang kepada Allah dan Rasulullah bererti, walau kehilangan kompas dalam pengemudian, kita punya seseorang yang pandai membaca bahasa bintang sebagai petunjuk arah. Kita selamat bila bersamanya, kerana kita tahu dia dan kita sama-sama menghambakan diri pada Allah yang sama. Dan apabila kita bertawakal, dia juga lebih bertawakal.
 
Berbalik pada isu komuniti. Ibu yang rajin beribadat dan teguh pada agama takkan dapat melahirkan zuriat yang teguh pada agama. Kerana iman itu tidak sekali-kali diwarisi. Namun, ibu yang memupuk iman dihati anak-anak, akan membesarkan anak-anak yang hidup hanya untuk Allah dan Rasul.
 
Suami adalah contoh kepada isteri dan isteri adalah contoh kepada suami. Saling melengkapi sesama suami isteri itu samalah jua seperti menggenggam erat kedua tangan. Usrah, solat berjemaah, qiyamullail, puasa sunat dan tadarus quran bersama-sama harus ditegakkan dalam sebuah keluarga, ini adalah cara memupuk iman dalam hati pasangan dan anak-anak.
 
Kita harus melihat perkahwinan, dan kehidupan sesudah perkahwinan sebagai satu jalan untuk bertemu Allah dan Rasulullah sedekat-dekatnya di akhirat kelak, Insyallah.
 
Oleh itu, kehidupan dan perkahwinan adalah perkara yang amat serius dan memerlukan kematangan. Ia bukan satu mainan.
 
Seorang isteri itu adalah "khadijah" kepada suami dan anak-anaknya. Isteri yang bagaimanakah kita ingin jadi? dan Ibu yang bagaimanakah kita? Pandu dan pupuklah iman anak-anak yang bakal lahir dari rahim kita. Namun, sebelum itu, pandu dan pupuklah iman pada diri kita terlebih dahulu. Kerana ibu yang tidak dapat mewarisi iman, hanya mampu menjadi contoh terbaik untuk ikutan anak-anak yang dilahirkannya.
 
Kepada suami, lindungilah dan cintailah "Khadijah" anda. Bukankah Rasulullah juga amat melindungi dan mencintai Khadijahnya? Dan apabila "khadijah" anda melahirkan anak, maka pupuk dan pandulah iman anak-anak anda supaya mereka berTuankan Allah dan bergurukan Rasulullah.
 
Kepada Isteri, berniatlah agar generasi yang lahir dari rahim kita adalah pewaris para sahabat baginda. Berniatlah untuk melahirkan dan membesarkan pewaris Abu Bakr As Siddiq, Umar Al Khattab, Ali B Abi Talib, Uthman Al Affan, Abu Ubaidah Ibn Al Jarrah, Muaz B Jabal, Aisyah, Fatimah, Asma dan terlalu banyak untuk disebut.
 
Agar mereka adalah zuriat yang berjuang menegakkan kalimah "La illaha Illa Allah wa Muhammad rasulullah".
 
Insyallah.
Insyallah.
Insyallah.
 
 
Wahai sahabat sekalian
Kehidupan & Perkahwinan Bukan Suatu Mainan
 
Saya Hanya Seorang Hamba
 
Nurul Damia Mohamad Sofian