Dec 19, 2009

Lesson from “Ammar Bin Yasir”-(Part 1)

Seandainya ada orang yang dilahirkan di syurga, lalu membesar dan menjadi dewasa, kemudian dibawa ke dunia untuk dijadikan hiasan dan nur cahaya, maka Ammar serta seluruh ahli keluarganya adalah beberapa orang di antara mereka...

Rasulullah saw bersabda:
“sabar wahai keluarga Yasir, tempat yang telah dijanjikan Allah bagi kalian adalah syurga”

Penghijrahan Yasir b Amir ke Mekah
Yasir b Amir yakni bapa kepada Ammar,berhijrah ke Mekah meninggalkan negeri asalnya, Yaman adalah bertujuan untuk mencari dan menemui salah seorang saudaranya yang menetap di Mekah. Setelah beliau merasa aman dan selesa menetap di Mekah, Yasir membuat keputusan untuk terus menetap dan bermukim di sana. Lantas beliau mengikat perjanjian persahabatan dengan Abu Hudzaifah Ibnul Mughirah.
Abu Hudzaifah mengahwinkannya dengan salah seorang sahayanya bernama, Sumayyah bt Khayyath, dan dari perkahwinan yang penuh berkah ini kedua suami isteri itu dikurniai seorang putera bernama Ammar.

Pengislaman Keluarga Yasir & Penyeksaan Quraisy
Keislaman mereka termasuk dalam golongan yang pertama, sebagai halnya orang salih yang diberi petunjuk oleh Allah. Dan sebagai halnya orang-orang salih yang termasuk dalam golongan yang paling awal memeluk islam, mereka cukup menderita kerana seksaan dan kekejaman Quraisy.

Orang-orang quraisy menjalankan siasatan terhadap kaum muslimin setelah mengetahui berita mengenai penyebaran islam. Mereka yang memeluk islam, seandainya dari golongan bangsawan dan berpengaruh maka ancaman serta gertakan yang bertubi-tubi dikenakan keatas mereka.

Abu Jahal dengan lantang mengertak golongan ini dengan ungkapan:
“kamu berani meniggalkan agama nenek moyangmu padahal mereka lebih baik daripadamu! Akan kami uji kamu sampai di mana tahap ketabahanmu, akan kami jatuhkan kehormatanmu, akan kami musnahkan perniagaanmu dan akan kami hancurkan harta bendamu!”

Dan setelah itu mereka melancarkan perang saraf yang amat sengit terhadap golongan ini.
Lain halnya pula, sekiranya yang beriman itu adalah dari kalangan penduduk Mekah yang rendah martabatnya, miskin, hamba sahaya dan budak belian, maka mereka ini akan didera dan dibakar di atas unggun api yang bernyala.

Maka keluarga Yasir termasuk dalam golongan yang kedua ini. Penyeksaan mereka diserahkan sepenuhnya kepada Bani Makhzum. Setiap hari Yasir, Sumayyah dan Ammar di bawa ke padang pasir Mekah yang demikian panas, lalu didera dengan pelbagai azab dan seksa.

Allah berfirman yang bermaksud:
“apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: “kami telah beriman”, padahal mereka belum lagi diuji?” (29:2)

“apakah kalian mengira akan dapat masuk syurga, padahal belum lagi terbukti bagi Allah orang-orang yang berjuang di antara kalian, begitu pun orang-orang yang tabah?” (3:142)

Demikianlah Allah mendidik hambanya dan para pendukung islam bahawa pengorbanan merupakan unsur paling penting dalam iman. Kepahlawanan menghadapi kekejaman dan kekerasan dihadapi dengan penuh kesabaran, keteguhan dan pantang mundur, membentuk iman yang mantap dan solid.

To be continue in Lesson from “Ammar Bin Yasir”-(Part 2).

No comments:

Post a Comment