Feb 26, 2013

Dosa: Seperti Bebola Besi Yang Menghambat Kaki


Assalamualaikum wbt.
 
Bismillahirahmanirahim
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
 
Jumaat lepas sewaktu memandu, khusyuk saya mendengar slot Usrah di IKIM. Masyallah, banyak sekali input dan insight yang saya dapat. Saya cuba kongsikan sebanyak mana yang saya faham dari slot tersebut. Insyallah, semoga kita semua mendapat manfaat.
 
Sering kali kita berazam untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Kita ingin menjadi manusia yang cemerlang dari segala segi. Kita ingin berubah menjadi insan yang lebih baik. Kesimpulannya, sudah menjadi fitrah buat manusia untuk cenderung kepada kebaikan dan berusaha mencapai kebaikan tersebut.
 
Tapi dalam keinginan yang membuak-buak untuk mengubah diri ini, kita gagal berkali-kali sesudah beberapa attempt yang kita laksanakan untuk berubah. Seolah-olahnya kita tidak mampu mengekalkan rentak istiqomah atau consistent melakukan perubahan. Kita bersemangat di awalnya dan akhirnya kembali menjadi diri kita yang dahulu. Kadang waktu kita bagaikan hendak berputus-asa dalam melaksanakan perubahan diri. Segala usaha yang dibuat segalanya tak menjadi. Kita tertanya-tanya mengapa begitu susah untuk istiqomah dan consistent dengan perubahan yang telah kita niatkan ini? Bila sampai satu tahap kita berburuk sangka pada Allah. Seolah-olahnya kita merasakan Allah tidak ingin membantu kita dan membiarkan kita keseorangan dengan perasaan putus asa. Astagfirullah al azim.
 
Beginilah perit perjalanan sebagai seorang hamba. Namun, Mengapa perkara seperti ini berlaku sedangkan Allah itu Maha Penyayang?
 
Apa yang menghalang diri kita untuk terus maju dalam perubahan ini adalah dosa-dosa semalam yang masih menghambat kaki kita ke jurang gelap. Dosa yang semalam, dosa kelmarin, dosa minggu lepas, dosa tahun lepas apatah lagi dosa bertahun-tahun yang telah lalu. Dosa-dosa ini bagaikan rantai bebola besi yang menghambat kaki ke tanah dan menghalang kita dari terus maju mencapai kejayaan mengubah diri. Kaki kita dihambat penuh kuat, jikalau pun kita mampu melakukan 1 langkah ke depan, untuk langkah yang seterusnya akan menjadi begitu penat dan lelah. Sehinggalah kita berhenti dan tidak melangkah lagi. Kerana itulah kita gagal untuk istiqomah atau consistent dalam melakukan perubahan diri. Dosa yang menghambat kaki kita penuh kuat ke tanah menyebabkan kita lelah untuk terus maju.
 
 
Dosa. Baik kecil mahupun besar kedua-duanya seperti bebola besi. Semakin besar dosanya semakin besar saiz bebola besi, semakin kecil dosa semakin kecil saiz bebola besi. Dosa-dosa kecil adalah “silent killer”. Ia adalah dosa yang dipandang remeh, dan sering kali dilakukan tanpa disedari. Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Dosa-dosa kecil ini semakin bertambah dan bertambah tanpa kita sedari. Oleh itu dosa-dosa kecil ini menghasilkan bebola-bebola besi yang berangkai-rangkai dan melilit pada kaki kita. Akhirnya walaupun saiznya kecil, namun bebola-bebola besi yang berangkai ini menjadi semakin besar, semakin banyak dan semakin berat melilit pada kaki sehingga naik ke paha. Ini baru dosa kecil. Cuba kita bayangkan bagaimana parahnya sekiranya ianya adalah dosa-dosa besar. Astagfirullah al azim.
 
Sungguh lelah keadaan ini. Bagaimana ingin melangkah dalam keadaan diri terhambat sebegini kuat pada jurang dan lembah yang amat gelap? Bagaimana ingin melepaskan diri dari hambatan ini? Bagaimana untuk lari kearah cahaya perubahan dan selama-lamanya kekal berada dalam sinar kebaikan? Bagaimana mendapatkan Allah dalam situasi yang seperti ini? Bagaimana dan bagaimana?
 
Sahabat,
Jawapannya tiada yang lain, melainkan “Taubat yang nekad” serta “Taubat yang berkali-kali”.
 
Taubat. Maksud taubat itu perlu difahami dari dalam hati. Keinginan untuk kembali pada Allah haruslah kuat yang amat kuat dan keinginan itu haruslah ingin yang sangat ingin. Apabila kita punyai keinginan yang sebegini kuat, harus ingat, perlu ada nekad yang benar-benar nekad. Kata Ustaz sewaktu memberi penerangan:
 
“Harus ada nekad yang benar-benar nekad untuk tidak mahu melakukan dosa yang telah kita lakukan.”
 
“Aku betul-betul tidak mahu, Aku betul-betul tidak mahu melakukan dosa sebegini lagi.”
 
Dalam bertaubat, jangan cuba menduga diri dengan persoalan-persoalan “macam mana kalau aku buat lagi dosa ini?” atau “mampu ke aku mengubah diri?” atau “mampu ke aku meninggalkan dosa ini?” Apabila kita menduga diri atau dalam erti kata lainnya ‘tidak yakin’ atau ‘ragu-ragu’ itu bermaksud kita sememangnya masih tidak mahu meninggalkan dosa tersebut. Kita masih lagi ingin melakukan dosa tersebut. Maka sia-sia sajalah taubat kita.
 
Bila kita benar-benar tidak mahu melakukan dosa, keinginan itu perlu dikuatkan dari dalam hati. Lafazkan dalam hati bahawa kita tidak ingin sampai mati pun melakukan dosa tersebut! Usah ragu-ragu dan tidak yakin. Pohon pada Allah, agar Allah mengampuni segala dosa-dosa kita. Beritahu Allah bahawa kita benar-benar tidak mahu melakukan dosa tersebut. Pohon agar Allah bantu kita. Noktah! Jangan berfikir panjang sampai timbul perasaan yang ragu-ragu dan tidak yakin untuk meninggalkan dosa.
 
Dosa ini busuk. Busuk yang teramat. Maka tinggalkan sajalah, tidak perlu ragu-ragu dengan benda yang busuk. Manusia yang bijak tidak akan suka-suka membusukkan diri. Oleh itu tidak perlulah membusukkan diri dengan dosa.
 
Siapa kata manusia ini sempurna?
Siapa kata manusia ini setelah bertaubat, dia akan sempurna tanpa melakukan dosa sekali lagi?
 
Kita ini akan digoda syaitan dari segala sudut dan ceruk. Kita ini bukanlah Umar al Khattab yang apabila syaitan melihatnya pasti akan lari dan memilih jalan yang lain kerana takut.
 
Sesudah bertaubat, kita nekad untuk meninggalkan dosa A. Alhamdulillah dengan izin dan pertolongan Allah kita berjaya. Namun, dalam meniti hari-hari sebagai hamba Allah, kita terjerumus pula dengan dosa B dan ditambah pula dengan dosa-dosa kecil. Kerana itulah saya mengatakan taubat itu haruslah “taubat yang nekad” dan “taubat berkali-kali”.
 
Inilah solusinya.
 
Untuk membebaskan diri dari hambatan bebola-bebola besi tersebut, taubat adalah satu-satunya solusi atau kunci yang membuka rantaian bebola-bebola besi ini.
 
Allah sudah berjanji, bahawasanya Dia akan mengampuni segala dosa hamba yang bertaubat kepadaNya. Allah tidak pernah memungkiri janji. Jadi, apalagi yang mengahalang kita dari bertaubat? Sedang Allah itu sentiasa menunggu-nunggu taubat dari kita supaya Dia dapat mengampuni kita semua.
 
Sahabat, saya menasihatkan diri saya yang paling-paling utama.
 
Marilah berusaha mendapatkan Allah, menjadikan Allah begitu dekat dalam hati kita, membersihkan diri dari dosa-dosa semalam, maju kehadapan menjadi hamba, umat, anak, sahabat dan manusia yang terbaik.
 
Marilah kita berhijrah, menjadi yang lebih soleh dan solehah dari diri kita yang semalam. Menjadi yang lebih bermatlamat, menjadi yang lebih berusaha, menjadi yang lebih berdisiplin, menjadi yang lebih amanah.
 
Untuk mara kehadapan dengan langkah yang bebas dan senang marilah kita bertaubat terlebih dahulu. Menyesali segala macam dosa yang telah kita lakukan, nekad untuk meninggalkannya dan memohon keampunan Allah dengan sebenar-benarnya. Inilah taubat, dan taubat sahajalah yang dapat membebaskan kaki kita dari hambatan yang melelahkan. Agar setelah bebas, kita dapat mara kehadapan dengan pantas berlari dan penuh bergaya.
 
Untuk berubah, perlu ada taubat.
Dan untuk bertaubat, perlu ada nekad dan harus berkali-kali.
 
Moga Allah ampuni dosa-dosa kita yang lampau.
 
Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian

 

 

 

Feb 13, 2013

Kata Rasulullah (SAW) Tentang Memberi Nasihat

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirahmanirahim.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Satu hari, sedang saya asyik dan leka membaca satu buku tentang sirah Rasulullah, saya came across dengan satu pesanan Baginda dalam surat yang Rasulullah kirimkan pada Mundhir Ibn Sawa, Pemerintah atau Raja Negara Bahrain sewaktu zaman Rasulullah saw. Saya tertarik dengan sebaris pesanan yang Rasulullah sampaikan di dalam surat tersebut, Rasulullah berpesan:

“Aku (Rasulullah) memperingatkan kamu (Raja Bahrain) tentang Allah yang maha agung, kerana sesungguhnya orang yang memberi nasihat itu  juga bererti menasihati dirinya sendiri.”

Saya terpana dan terdiam. Pesanan Rasulullah ini amatlah mendalam untuk saya hayati.

Kadang waktu bila kita dibayangi dosa-dosa semalam, kita terlalu merendah diri untuk memberi nasihat. Kerana memikirkan betapa tidak layaknya diri kita untuk menyampaikan nasihat kepada orang lain sedang diri sendiri pun belum betul-betul soleh atau solehah.
 

Tapi bila dihayati betul-betul apa yang Rasulullah sampaikan, ia sebenarnya satu keterangan yang amat jelas, bahawasanya kita tidak perlu takut untuk menyampaikan apa yang benar, memberi nasihat, menyebarkan dakwah serta memberi ceramah..kerana, at the end of the day kita benar-benar sedang menasihati diri sendiri sebenarnya.

Patutlah Rasulullah berpesan “Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat”. Menyampaikan kebaikan serta memberi nasihat ke arah kebaikan itu memang satu perintah dan sunnah baginda saw.

Ada satu dilemma.

Kadang-kadang kita tidak akan dapat lari dari situasi dimana orang mempertikaikan nasihat kita atau nasihat orang lain. Kerana kebanyakan kita hanya suka menerima nasihat dari orang yang baik-baik sahaja.

Kalau seorang pencuri menasihatkan kita supaya melaksanakan solat, seharusnya nasihat pencuri ini diterima dan dipandang serius, kerana si pencuri menyuruh kita kepada kebaikan.

Nasihat si pencuri memang tidak boleh disangkal, dan seharusnya diterima dengan penuh rasa pengahayatan. Usah kita pertikaikan keburukan dia, itu adalah urusannya dengan Allah sahaja. Apa salahnya jika kita juga mendatangi si pencuri dan beri nasihat kearah kebaikan kepadanya instead of mengata semula tentang keburukan si pencuri.

Itu analogi nasihat dari si pencuri. Kita mungkin berhadapan dengan watak orang yang berbeza, namun situasinya tetap sama. Si pencuri sebenarnya tanpa dia sedari sedang memberi nasihat pada dirinya sendiri.

Begitulah methodnya. Inilah apa yang Rasulullah saw sampaikan kepada kita melalui surat baginda saw kepada raja Bahrain tersebut.

Oleh itu, regardless of what we are, dan dosa kita yang menggunung tinggi, serta betapa kurang soleh dan solehahnya kita, jangan takut memberi nasihat yang baik kepada orang di sekelililng. Sewaktu menyampaikan nasihat, berpegang teguh la dengan pesanan Rasulullah saw seperti di dalam surat yang telah Rasulullah kirimkan kepada raja Bahrain diatas, bahawasanya sewaktu menyampaikan nasihat kepada seseorang, yang paling-paling utama kita sedang menasihati diri kita sendiri sebelum orang tersebut.

Bagi yang sudah mengenali diri saya, ambillah apa yang baik dari saya, kerana yang baik itu semuanya dari Allah. Segala puji-pujian dan kebaikan itu semuanya milik Allah. Tinggalkan setiap keburukan yang anda lihat melalui diri saya. Jangan dijadikan contoh, dan berilah saya nasihat yang baik. Kerana saya amat memerlukannya.

Sesudah saya tamatkan bacaan dimuka surat yang telah saya ceritakan di atas, hari itu saya berjanji pada diri, Insyallah saya tidak akan menahan diri saya untuk memberi nasihat yang baik buat orang disekeliling. Biarlah nasihat itu sebagai bekal dan refleksi untuk diri saya sendiri dalam meniti hari-hari untuk menjadi hamba yang dicintai Allah dan RasulNya.

Sampaikanlah nasihat, kerana sesungguhnya kita sedang menasihati diri kita yang kerdil ini.

Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian
 
 

Feb 9, 2013

Membulatkan Azam, Menguatkan Usaha & Meletakkan Tawakal

Assalamualaikum wbt.
 
Bismillahirahmanirahim
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
 
Manusia ini fragile.
 
Hebat mana pun seorang itu, dia masih memerlukan out force untuk menyokong dirinya. Bagi non-muslim mereka sering mempercayai out force mereka adalah "miracle fate". Tapi bagi kita yang Islam dan beriman, out force kita tiada yang lain hanyalah Allah.
 
Dahulu saya pernah berangan ingin menjadi seorang doktor perubatan dan juga seorang saintis. Kisah zaman kanak-kanak memang beginilah. Kita tamak terhadap "unseen future" yang kita sendiri tidak tahu menahu kemana ia akan membawa kita.

 
Apabila semakin menginjak usia, dan sehingga pada hari ini ketika saya sudah berumur 25 tahun saya makin mula mengerti akan percaturan Allah terhadap diri saya.
 
Ya,
Saya sudah berusia 25 tahun. Tua dan Tua.

Hidup kita ini sangat unik pada telahan saya. Apabila saya semakin sedar bahawa Allah terlalu banyak memudahkan jalan hidup saya untuk menjadi seorang saintis, saya dengan pantasnya memadamkan memori masa kecil untuk menjadi seorang doktor perubatan.

Allahuakbar.

Saya tidak tahu bagaimana saya dirasuk dengan semangat terhadap sains dan yakin yang amat sangat terhadap Biomedical Science.

Ya Allah, sungguh milik Allahlah segala pujian.

Biomedical Science,
Kata orang kebanyakan di Malaysia ini, ianya course longgokan. Course yang tak memberi jaminan kerja. Gaji fresh graduate Biomedical student pun murah saja, tak macam doktor perubatan or akauntan ke.

Mmmmmm
Memang bukan kerja saya, untuk mengawal hati-hati manusia dan menukar cara pemikiran mereka. Biarlah dan biarlah. Marilah kita melihat bagaimana Rasulullah membulatkan azam, menguatkan usaha dan meletakkan tawakal.

Apa sahaja yang kita buat, it has to "begin with the end of mind".

Tak ada kerja yang lebih superior dari mana-mana. Cumanya manusia di zaman sekarang suka meletakkan standard yang datang entah dari mana. Hatta, seorang pekerja DBKL pun sangat mulia tugas mereka sekiranya kerja yang dilaksanakan di anggap ibadah untuk Allah semata.

Manusia meletakkan taraf berdasarkan nilai gaji yang diterima. Semakin banyak RM semakin atasan lah orang tersebut. Namun di sisi Allah amatlah berbeza. Takwa dinilai sebagai kayu tunjuk taraf kita di sisi Allah. Semakin bertakwa, semakin dekatlah dia di sisi Allah, semakin terselamatlah dia di akhirat dan semakin bahagia lah dengan mendapat jaminan syurga.

Lantas, kita yang hari ini perlu memaksa diri untuk menjadi orang yang bijak dalam menjustifikasikan sesuatu. Jangan main pakai cakap tanpa berfikir. Akal itu tinggi tempat letaknya, jadi gunalah ia semaksima mungkin.

Hargai setiap jenis pekerjaan yang halal, jangan kita meletakkan standard yang tak pernah di ajar sekali pun oleh Rasulullah. Semua orang signifikan, mereka harus dihormati dan dihargai. Walaupun seorang abang bangladesh yang bekerja sebagai pencuci kereta.

Belajar menghormati jika kita ingin dihormati. Itu syarat paling mudah.

Berbalik pada "Begin with the end of mind"

Umat Islam perlu dan harus bercita-cita tinggi. Allah sudah mengisytiharkan bahawa kita (Umat Islam) adalah umat yang terbaik yang diciptakan untuk seluruh manusia. Itu Allah yang memberi kita taraf teratas dari sekalian umat manusia yang membanjiri bumi ini.

Kita sering dan suka mendengar tentang kejayaan orang, namun mengapa tidak kita mencipta kejayaan sendiri. Sebagai seorang remaja muslim, kita harus berfikir dan memasang stretegi, apakah yang ingin kita lakukan dan sumbangkan kepada umat islam kelak.

Bagaimana pekerjaan kita dapat membantu umat islam dan dakwah islam. Kita amat perlu menjadi orang yang merendah diri namun sangat luar biasa. Hidup perlu ada matlamat. Berkerja juga perlu ada matlamat. Kerja bukanlah sekadar mencari wang untuk membantu ibu bapa, namun kita perlu ada matlamat yang lebih luas. Bekerja untuk membantu seluruh umat islam dan dakwah islam.

Cara Rasulullah dan para sahabat (ra) berfikir sangat global, segalanya demi umat, umat, umat dan dakwah, dakwah, dakwah. Rasulullah tidak bersusah payah hanya untuk keluarga semata, namun darah, air mata, tawa yang Rasulullah (saw) dan para sahabat (ra) hadapi adalah untuk saya, kamu dan seluruh umat manusia agar mereka tertegak dengan kalimah tauhid dan kembali Islam.

End destination untuk setiap yang kita mulakan haruslah demi ummah dan dakwah islam. End destination ini samalah seperti matlamat yang hendak kita capai. Dan apabila kita ingin memulakan langkah "begin" kita bulatkan azam kita dengan bersungguh. Pasang dan senaraikan strategi anda. Sesudah itu pilihlah cara yang paling-paling baik dan berkesan untuk memastikan kita dapat sampai ke end destination kita. Bila cara terbaik sudah ada di depan mata, maka kita kuatkan usaha. Along the journey kita letakkan tawakal yang sangat tinggi hanya pada Allah.

Jangan lupa berdoa sebanyak mungkin. Minta bantuan hanya pada Allah.

Jangan takut punyai cita-cita yang tinggi. Hatta, jika anda bercita-cita menubuhkan sebuah Universiti pun teruskan dengan cita-cita tersebut, bulatkan azam, susun strategi, pilih cara, kuatkan usaha dan letakkan tawakal.

Tiada apa yang mustahil. Jika Allah mengizinkannya. Insyallah.

Biarlah hidup kita ini ada "Value" yang tersendiri. Jadikanlah kalimah Islam itu tinggi dengan biasan diri kita. Kita (umat islam) adalah "Walking Example". Kita diperhatikan seluruh jenis manusia dan makhluk di muka bumi ini.

Tak perlu bentang red carpet pun kita dah memang menjadi sasaran lensa mata orang-orang bukan islam. Mereka adalah paparazzi yang tak diiktiraf.

Tak salah menjadi kaya,
Tak salah bercita-cita tinggi,

Tapi biarlah itu semua hanya untuk Ummah dan Dakwah Islam. Kerana inilah jejak yang telah Rasulullah (saw) dan para sahabat (ra) berpijak, dan kita sebagai generasi yang datang sesudah mereka haruslah berpijak pada pijakan yang sama mereka berpijak.

Berpeganglah pada Allah dan Rasulullah sekuat yang mungkin.

Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian

Feb 6, 2013

Melahirkan Pewaris Para Sahabat (RA)

Assalamualaikum wbt.
 
Bismillahirahmanirahim.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
 
Maaf, kerana agak lama saya tidak mengirim artikel. Semoga Allah sentiasa memudahkan setiap urusan-urusan sahabat semuanya dan saya sendiri.
 
Bukan senang menjadi Ibu. Itulah menurut pemikiran saya.
 
Beberapa minggu yang lepas, sewaktu di usrah dan di tempat kerja perbualan saya bersama rakan-rakan asyik berkisahkan anak. Sehingga membuatkan saya berfikir panjang mengenai topik ini.
 
Anak.
 
Bila berada dalam medan dakwah, topik anak menjadi lebih serius dan berbual mengenainya sering kali dititipkan dengan satu roh semangat yang membuak-buak. Masih kuat dalam ingatan saya pesan seorang sahabat "berkahwinlah, jangan takut dengan perkahwinan. Berpenganglah hanya pada Allah. Kemenangan Islam itu mungkin belum datang semasa zaman kita semua, tapi tanamkan dalam diri, kita akan melahirkan zuriat-zuriat, pewaris para Sahabat Rasulullah. Dan merekalah pembawa panji kemenangan Islam."
 
 
 
Saya masih ingat bagaimana berderaunya darah saya apabila pertama kali mendengar nasihat sebegini. Tak pernah, seumur hidup saya rasa begitu bersemangat mendengar nasihat tentang anak. Itulah pertama kali, dan sehingga kini masih segar nasihat itu di ingatan saya.
 
Saya amat berterima kasih kepada sahabat ini. Sehingga kini saya masih lagi berpegang pada nasihat beliau.
 
Seringkali saya terfikir, bagaimana untuk memastikan anak-anak yang bakal dilahirkan dan dibesarkan oleh kita tidak mengikut sifat-sifat buruk ibu bapa mereka.
 
Satu hari, selepas solat, saya duduk menghadap kiblat. Sangat lama, dan sangat banyak yang ingin saya beritakan pada Allah. Allah sajalah yang tahu akan isi hati saya. Lantas inilah doa yang saya lafazkan atas kerunsingan di atas.
 
"Ya Allah, aku ini hamba yang terlalu banyak keburukan, terlalu jahil, terlalu hina. Ya Allah aku ini kasar, ego, pemarah dan sangat jahil akhlakku.Sungguh Ya Allah, Kaulah lebih mengetahui tentang diriku lebih dari diriku sendiri. Lembutkanlah diriku, perindahkanlah akhlakku, kuatkanlah kesabaranku. Ya Allah, jadikanlah aku seperti apa yang engkau cintai. Sewaktu aku menanam niat untuk berubah dan berhijrah, tiadalah ini semua aku lakukan hanya untuk menjadi lebih dekat denganMu dan Rasulmu. Bantulah aku Ya Allah, hisailah aku dengan akhlak seorang hamba yang solehah. Cantikkanlah akhlakku Ya Allah, agar zuriat-zuriat yang lahir dari rahimku adalah mereka yang tidak mewarisi sifat buruk dan kejahilanku. Perkuatkanlah mereka dengan Islam, dan perkuatkanlah Islam dengan zuriat-zuriatku. Amin"
 
Sewaktu berusrah, seringkali saya mengagumi sifat keibuan naqibah saya. Kak Zilal, orangnya penyabar dan easy going. Ibu yang relax dan cool. Anak Kak Zilal kedua-duanya hero, Khalid dan Said. Semoga Allah membesarkan Khalid dan Said dengan keteguhan Iman. Kata Kak Zilal, anak adalah "penyambung dakwah". Merekalah syer-syer terbesar kita di akhirat kelak.
 
Jadi apabila berkahwin, berniatlah untuk melahirkan seorang pewaris sebagaimana para Sahabat Rasulullah saw. Bacalah, fahamilah, dan letakkanlah rasa cinta kita yang amat sangat sewaktu membaca kisah hidup Rasulullah. Disamping Rasulullah saw itu ada sahabat-sahabat yang banyak yang harus kita teladani dan contohi. Jangan kita bosan membaca tentang Rasulullah. Baca dan bacalah lagi. Agar roh cinta terhadap Rasulullah dan Para sahabatnya merasuk diri kita untuk hanya mengikut jejak-jejak yang telah mereka pijak, dan melahirkan pewaris-pewaris  yang hanya berpijak pada jejak-jejak Rasulullah dan para Sahabat.
 
Fahami kisah Rasulullah sedalam-dalamnya. Carilah buku-buku sirah yang menceritakan kisah hidup Rasulullah dari awal sehingga ke ahkirnya. Bacalah tanpa bosan dan putus asa, agar dengan itu melahirkan rasa keinginan kita untuk bertemu dengan Rasulullah dalam mimpi, di padang mahsyar dan reunite bersama Rasulullah, suami, anak-anak, seluruh keluarga dan sahabat di Syurga Firdaus. Insyallah.
 
Hidup ini adalah satu misi panjang untuk pertemuan dengan Allah di akhirat kelak.
 
Misi seorang ibu itu banyak, dan salah satunya melahirkan zuriat-zuriat, pewaris para Sahabat Rasulullah.
 
Jangan sekali-kali kita lupa tentang ini wahai kaum hawa. Semoga Allah meniupkan perasaan damai dalam hati kita dan membantu kita melahirkan serta membesarkan zuriat yang terbaik untukNya, Rasulnya dan IslamNya.
 
 
 
Saya Seorang Hamba Yang Hina,
Nurul Damia Mohamad Sofian