Dec 30, 2013

Wahai Sahabat, Surat Penghargaan Buat Semua-Part 2

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirahirahmanirahim
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Saya berniat bahawa hari ini saya harus menulis surat kedua ini.

Tidak lama dahulu saya pernah menanam cita-cita untuk berusaha menjadi pemenang anugerah Nobel. Saya pernah terfikir, adakah ia sesuatu yang mustahil? Pada zaman ini kepandaian dinilai mengikut kemodenan bangsa dan rakyat di sesuatu negara, sebagai contoh: oleh kerana sebahagian besar sains dan teknologi dipelopori oleh masyarakat Inggeris atau dengan kata lainnya "masyarakat barat", jadi kebanyakan kita melihat bahawa mereka adalah yang bijak dan yang paling pandai.


Namun benarkah begitu? benarkah anugerah Nobel itu mustahil untuk dimenangi oleh orang Islam yang lahirnya dari timur, yang membesar di Malaysia dan hanyalah rakyat marhen? Benarkah?

Dengan Islam kita menjadi tinggi dan mulia. Rasulullah pernah berpesan, "mereka yang bijak dari umatku adalah mereka yang mengingati mati" oleh yang demikian, definisi bijak kita dengan definisi bijak Rasulullah saw amatlah berbeza.

Mengapa mengingati mati dikaitkan dengan kebijaksanaan? Mati beerti hilanglah kewujudan kita diatas muka bumi Allah ini. Bagi manusia yang sudah tidak wujud, mereka membawa salah satu bekal, pahala ataupun derita (dosa). Dia yang bijak adalah dengan menjadikan kehidupan dunia sebagai ladang subur dimana dia mengerjakan ladang itu dengan sebaik-baiknya. Menanam biji benih, membaja tanamannya, menyiramnya dengan air dan menuggu hasilnya tiba. Kita menanam, membaja dan mengairi ladang kerana kita yakin bahawa kita akan mendapat hasilnya di "kemudian hari". Kita percaya bahawa "kemudian hari" itu memang akan tiba jua.

Inilah manusia bijak. Mengerjakan ladang didunia, untuk mendapat hasilnya diakhirat.

Mengapa saya memberi perumpaan ladang?

Si peladang yang mati meninggalkan ladang yang akhirnya memberi manfaat kepada generasi yang seterusnya. Banyak manusia mendapat manfaat dari hasil ladangnya, dan tanah serta apa sahaja yang ditanam membuahkan hasil yang akhirnya dimanfaati oleh segenap penjuru manusia. Si peladang bukan sahaja mendapat hasil akhirat untuknya, malah segala manfaat yang telah diambil sekalian manusia dari ladangnya juga bakal menjadi pahala yang melimpah ruah buat si peladang.

Beginilah saya melihat kebijaksanaan itu.

Berbalik kepada cerita pemenang Nobel. Saya masih ingat, sewaktu saya melangkah kaki keluar dari rumah untuk ke KLIA dan sekaligus berangkat ke Sheffield, petang itu suasana di rumah tenang dan sunyi. Melangkah keluar dari pintu rumah saya berdoa pada Allah

"Wahai Allah, sungguh aku titipkan kedua ibu dan bapaku serta adik-adikku dibawah jagaanMu. Tiadalah sebaik-baik pelindung dan penjaga hanya melainkanMu ya Allah. Lindungi dan cintailah mereka ya Allah, sungguh aku bakal berjauhan dengan mereka demi hijrah yang aku niatkan untukMu ini. Amin."

Saya pernah ditanya, mengapa saya begitu ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara? Adakah kerana ingin merasa bagaimana berada di negara 4 musim? Adakah kerana bangga berada di negara penduduk Inggeris? Adakah kerana teringin menaiki kapal terbang? kenapa dan mengapa sebenarnya?

Saya tidak memberi jawapan kepada penanya soalan, sebaliknya ini yang saya katakan: "Saya harus keluar dari bumi Malaysia, saya ingin belajar. Saya memilih untuk ke luar negara bukan kerana keinginan saya untuk berada di negara 4 musim, bukan kerana bangga, bukan juga kerana tawaran di Malaysia tidak baik, namun saya hanya inginkan sebuah hijrah kerana Allah, dan saya melakukan ini semua kerana Allah dan Rasul yang amat saya cintai."

Si penanya sangat tidak faham mengapa saya begitu berahsia. Seolahnya, hijrah yang saya katakan seperti tidak boleh di buat di Malaysia. Di dalam surat ini, saya berniat untuk menceritakan segalanya.

Oxford adalah misi dan hijrah yang terawal saya niatkan, apabila tawaran ke Oxford gagal Allah membuka jalan untuk saya ke Sheffield.

Ini adalah hijrah yang saya inginkan demi Islam yang semakin kuat dalam diri saya. Saya tidak punyai kelebihan dalam menghafaz quran, saya tidak punyai kelebihan dalam ilmu hadith, namun Allah memberi kelebihan buat saya dalam ilmu sains dan berhujah dengannya. Allah mengilhamkan umi saya agar menamakan saya "Damia" sedang maksud Damia itu adalah "kebajikan" dan "kebijaksanaan".

Oleh itu, bagaimanakah menyalurkan kebijaksaan yang Allah berikan sebagai pinjaman buat saya kepada agamaNya?

Nobel. Saya berniat demi sebuah keringat dan sebuah perjalanan panjang yang amat berliku, bahawa saya ingin menjadi umat Islam yang memenangi hadiah Nobel. Bukan untuk diri saya, bukan untuk berkhidmat pada Malaysia juga,  akan tetapi saya inginkan ia sebagai dakwah, agar masyarakat dunia melihat tingginya kalimah Allah dan hebatnya Islam. Bahawa kita umat Islam, bukanlah umat yang mundur, malah kita masyarakat hebat yang berpengang pada ajaran Quran dan Sunnah rasulnya.

Rata-rata pemenang Nobel, mereka tidak mengembalikan kebijaksanaan mereka kepada Allah. Mereka bangga kerana menjadi yang pertama menemui sesuatu. Mereka memuji betapa uniknya manusia dijadikan, namun tetap menolak akan kehebatan Tuhan yang telah menjadikan sesuatu itu. Milik merekakah segala ilmu tersebut? Atau milik Allah? Mereka yang dekat kepada sains adalah yang paling arif tentang kesempurnaan ciptaan manusia. Namun, mengapa masih enggan menerima bahawa wujudnya Allah sebagai pencipta?

Apabila berpengang pada tali Allah, kita menjadi kuat. Kebijaksanaan itu adalah kurnia yang Allah berikan kepada siapa yang dipilihnya. Keupayaan dalam memahami sesuatu yang dipelajari juga adalah dengan izin Allah. Maka bukankah kita punyai Allah, yang denganNya kita dapat meminta agar kita diberi kebijaksanaan dan kefahaman untuk memahami ilmuNya yang sangatlah luas ini.

Benar, saya sering berdoa pada Allah "Ya Allah kurniakan saya kebijaksanaan, kefahaman dalam mempelajari setiap ilmu, kefasihan dalam berbahasa Inggeris, istiqomah dan disiplin. Agar diriku ini ya Allah dapat keluar dari kebiasaan ku dahulu dan kejahilan ku yang dahulu juga"

Saya hanyalah manusia biasa yang lemah, oleh itu saya memerlukan pertolongan Allah setiap masa dalam misi dan hijrah yang panjang ini.

Saya ingin belajar dan mengajar. Agar saya menjadi hamba Allah dan umat Rasulullah yang dapat memberi manfaat seperti "si peladang".

Saya perlu mendahului misi dan hijrah ini dengan niat, kerana siapa dapat menyangka boleh jadi kematian menjemput saya sebelum saya sempat menjayakannya. Agar dengan niat, Allah menerima perjuangan saya, dan apa sahaja usaha yang telah saya laksanakan dapat dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja, Insyallah.

Saya berterima kasih kepada semua sahabat yang banyak mendoakan diri saya, memberi kata-kata semangat, gurauan sebagai pengubat duka dan segala kebaikan yang telah kalian semua tunjukkan kepada saya. Allah sahaja lah sebaik-baik pemberi balasan. Semoga Allah mengurniakan seluruh kebaikan dunia dan seluruh kebaikan akhirat buat sahabat semua. Semoga setiap urusan kalian dipermudahkan Allah.

Nobel.
Tiada apa yang mustahil apabila kita bersama Allah, dan tiada apa yang mustahil jika kita meminta hanya pada Allah.

Jazakumullahu khairan kathira.

Saya hanya seorang hamba.
Nurul Damia
  






No comments:

Post a Comment