Apr 9, 2012

Syukur Buat Sahabat

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirahmanirahim
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Syukur. Alhamdulillah.
Ia bukan sekadar di lafaz apabila nikmat diberi oleh Allah untuk diri kita sendiri. Syukur sangat subjektif. Ia juga harus di lafaz apabila melihat nikmat diberi oleh Allah kepada insan-insan disekeliling kita.



Memang benar hidayah itu milik Allah.
Jika inginkan petunjuk, mintalah hanya kepada Tuan yang menjadikan petunjuk itu. Hanya Allah dan tiada yang lain.

Jumaat lepas saya menegur seorang sahabat tentang pemakaian 'scarf'. Suatu ketika dahulu saya pernah menegur, namun mungkin teguran tidak sampai di hati beliau. Melihat dia hari-hari di saat saya mula merasa tarbiah makin kuat dalam diri di tahun-tahun akhir ini, saya jadi risau terhadap sahabat ini. Saya risau sahabat ini merasakan apa yang dilakukannya betul sedang tidak memakai scarf dan jelas kelihatan rambut disebalik tudung yang nipis adalah Haram hukumnya. Jika saya tidak menegur, maka dosa yang lebih berat bakal saya tanggung bersama.

Jadi, dengan perasaan kasih terhadap sahabat ini, saya mendatanginya dalam diam dan membuat teguran dalam perbualan.

Alhamdulillah dia mendengar. Syukur.

Bertemunya kami sekali lagi adalah pada hari Isnin minggu berikutnya selepas nasihat dikongsi bersama pada hari Jumaat lepas.

Alhamdulillah. Syukur. Dia ke kelas memakai scarf (anak tudung). Hidayah walau sekecil biji sawi ia juga dikira signifikan! Saya mendatangi sahabat ini dan berkata pada dia "Kan cantik pakai anak tudung" kami senyum.

Ada orang kata manusia ini berubah hanya bila ditegur. Nanti dia kembali melakukan perkara yang sama. Hanya masa menentukan semuanya. Kata orang lagi, "Alah, nanti dia kembali la dengan tabiat lama. Dia berubah kejap saja."

Pheww. Dialog diatas sangat sinikal. Balik dari kelas, saya asyik memikirkan perkara ini.

Saya gembira sahabat saya memakai scarf(anak tudung). Ia perubahan yang kecil. Tapi sangat signifikan. Kerana risau tentang dirinya, dan saya berpendapat tiada siapa yang mampu memberikan hidayah buatnya melainkan Allah. Sambil berjalan menuju ke suatu tempat saya berdoa di dalam hati buatnya.

"Ya Allah, sewaktu aku lalai dengan tipu daya dunia ini, jiwa dan diriku kosong. Aku tidak punyai matlamat dan aku menempuh hidup bagai layang-layang terputus tali. Benar Ya Allah, berjauhan dariMu dan melupaiMu begitu menyesakkan dada. Aku tidak mahu sahabatku ini merasai perkara yang sama yang telah aku lalui. Ya Allah, sewaktu dia membuat langkah kecil dengan menerima teguran yang datangnya daripadaMu melalui diriku yang hina ini, berkatilah usaha sahabatku ini, kurniakanlah dia petunjuk dan hidayah buatnya. Pilihlah sahabatku ini Ya Allah. Perkuatkanlah Islam di dalam dirinya dan perkuatkanlah Islam dengan kehadirannya. Pandulah dia Ya Allah menjadi seperti apa yang Engkau cintai. Amin"

Saya tidak mampu mengubah sahabat ini. Hanya dirinya saja yang mampu memulakan langkah untuk berubah. Sebagai sahabat, saya sentiasa berdoa agar Allah perkuatkan saya untuk terus memberi nasihat dan yang paling utama menerima nasihat untuk diri saya sendiri.

Saya akan terus berdoa, selagi mana saya mampu. Semoga Allah tidak melupakan saya tentang itu.
Sahabat, untuk berubah, niat perlu ada dan doa perlu datang sesudahnya. Insyallah, pasti Allah akan memandu hidup kita kearahNya.

Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian

No comments:

Post a Comment