Apr 21, 2013

Meneladani Sahabat Ansar (RA)

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirahmanirahim
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar

Rasulullah saw berpesan sewaktu haji wida'
"Hendaklah kalian yang mendengar pada hari ini, berpesan-pesan kepada sahabat yang tidak hadir. Boleh jadi mereka yang mendengar dari kalian lebih memahami pesananku daripada mereka yang mendengar terus dariku"
Pesanan ini adalah pesanan terakhir yang telah rasulullah saw sampaikan sebagai penutup siri-siri khutbah semasa haji wida'. Kepentingan berpesan-pesan serta menyampaikan semula apa yang telah kita dengar.

Semalam saya menghadiri satu ceramah oleh Sheikh Habib Zainal di Masjid Al-Ansar, Dato' Keramat. Tajuk ceramahnya sama seperti nama masjidnya. "Meneladani Sahabat Ansar".


Sewaktu saya membaca sebuah buku yang menceritakan perjalanan hidup dan dakwah rasulullah saw, saya tidak putus-putus mengagumi keperibadian sahabat-sahabat ansar. Masyallah, mereka ini sangat-sangat menakjubkan.

Memang benar kata Sheikh Habib Zainal, rasulullah saw sangat mencintai orang-orang Ansar. Sewaktu keadaan di Mekah menjadi genting, masyarakat kafir quraisy begitu terdesak untuk menghentikan dakwah rasulullah. Melihatkan sekutu terkuat mereka seperi Saidina Hamzah dan Umar Al Khatab sudah memeluk Islam mereka menjadi mati akal dan semakin marah dengan rasulullah saw. 

Rasulullah saw dan para sahabat diboikot habis-habisan. Masyarakat mekah dilarang mengahwini wanita-wanita bani hashim, dilarang berjual-beli dengan mereka. keadaan menjadi sangat genting, dan kepayahan yang dirasai oleh baginda saw serta keluarga amat berat dan memilukan.

Ketika dalam kepayahan inilah Allah memberikan berita gembira kepada rasulullah saw dengan kedatangan sekumpulan orang-orang Ansar yang terdiri daripada bani Aus dan bani Khazraj datang membaiah rasulullah dalam satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Aqabah pertama. Setelah itu, menyusul perjanjian Aqabah kedua dengan masyarakat Ansar yang datang membaiah rasulullah adalah dalam jumlah yang lebih besar dari kelompok pertama yang hadir.

Sewaktu masyarakat mekah menolak rasulullah saw habis-habisan. Mendera sahabat-sahabat baginda, mencaci baginda, menyakiti emosi dan fizikal baginda, memboikot kaum keluarga baginda. Kaum ansar datang ,memberi jaminan perlindungan kepada rasulullah saw serta kepada seluruh ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Baginda dihalau dari mekah oleh kaumnya sendiri. Malahan orang-orang kafir quraisy ini sampai merancang untuk membunuh baginda. Sebaliknya kaum Ansar yang tidak pernah rasulullah kenal ini datang membaiah dan memberi jaminan keselamatan kepada rasulullah saw, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Rasulullah sering memuji masyarakat Ansar, bukan sahaja rasulullah, malah kaum Ansar ini seluruhnya mendapat mandat dan pujian dari Allah seperti yang tercatat di dalam Al-quran Al Hashr ayat 9:

"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya"

Sebelum meletusnya perang Badar, ada satu peristiwa yang sangat signifikan untuk kita renungi dan mengambil teladan darinya. Tujuan asal rasulullah saw bersama 313 sahabat muhajirin dan ansar yang keluar dari madinah adalah untuk menghentikan rombongan dagang Abu Sufyan dan mengambil semula harta hak milik orang islam muhajirin yang dirampas dan didagangkan oleh kafir quraisy melalui rombongan dagang Abu Sufyan.

Tujuan asal ini bukanlah berniat untuk menyemarakkan api peperangan antara kedua belah pihak. Sebaliknya Rasulullah saw berniat mengambil semula apa yang sudah menjadi hak para sahabat muhajirin. Namun, ternyata Abu Sufyan menjadi takut setelah mengetahui bahawa Muhammad saw bersama para sahabatnya sedang menunggu rombongan dagangnya. Abu Sufyan mengirim seorang utusan menyampaikan berita yang sedang berlaku ini kepada penduduk mekah supaya mereka mengirim bantuan.

Tidak dapat disangka oleh Abu Sufyan bantuan yang datang adalah sangat banyak, malahan Abu Jahal sendiri mengisytiharkan bantuan yang datang adalah berniat untuk berperang dengan rombongan rasulullah saw.

Keadaan menjadi sangat genting. Berita pengisytiharan perang oleh rombongan bantuan quraisy mekah telah sampai kepada rasulullah. Lantas Rasulullah segera mengumpulkan semua sahabat Ansar dan Muhajirin untuk meminta pendapat dari mereka.

Inilah antara dialog-dialog yang berlaku semasa perjumpaan Rasulullah saw bersama sahabat muhajirin dan ansar sebelum meletusnya perang:

"Wahai manusia berilah pandangan kepadaku" kata Rasulullah
Abu bakar, Umar dan Miqdad antara yang terawal bangun menyatakan pandangan dan persetujuan mereka untuk berperang.

"Wahai manusia berilah pandangan kepadaku" kata Rasulullah sekali lagi

Maka bangkitlah Saad B Muadh pembawa bendera bagi kaum ansar, sambil berkata "Demi Allah, seperti engkau mengharapkan pandangan dan jawapan daripada kami golongan ansar."

"Benar" Jawab baginda saw.

Kata Saad B Muadh "Boleh jadi engkau bimbang orang-orang ansar berpandangan mereka berhak untuk tidak membantumu kecuali di kawasan kampung halaman mereka sahaja. Sebagai mewakili orang-orang ansar aku nyatakan kepadamu: Pergilah kemana yang kamu suka, hubungilah siapa yang kamu suka, putuslah hubungan dengan siapa yang kamu suka, ambillah harta kami sebanyak mana yang kamu suka dan berilah kepada kami sebanyak mana yang kamu suka, tetapi kami lebih suka engkau mengambil daripada kami  berbanding engkau meninggalkannya untuk kami. Apa sahaja yang diperintahkan Allah kepadamu wahai rasulullah, maka urusan kami tetap mengikut perintahmu itu. Sungguh kami telah beriman denganmu dan kami membenarkan kenabianmu. Kami mempersaksikan bahawa apa yang engkau bawa adalah benar. Untuk itu kami telah memberikan perjanjian kami untuk dengar dan patuh. Wahai rasulullah, teruskan hasratmu. Demi Allah yang mengutuskan kamu dengan kebenaran, jikalau engkau membawa kami kepada lautan lalu engkau harunginya, nescaya kami akan mengharunginya bersamamu, tidak seorang jua pun daripada kami yang akan ketinggalan. Demi Allah jika engkau bergerak sehingga sampai ke Bark al Ghimad nescaya kami akan bergerak maju bersamamu. Kami tidak akan membenci sekiranya kamu membawa kami bertemu musuh-musuh kita besok hari. Sesungguhnya kami ini orang yang cekal dalam peperangan dan benar dalam pertemuan. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kepadamu tentang diri kami yang dapat mententeramkan engkau. Maka silalah bergerak bersama-sama kami di atas keberkatan Allah, wahai rasulullah."

Lantas Rasulullah saw menjadi sangat gembira mendengar kata-kata Saad serta melihat kesungguhannya dan orang-orang ansar.

Masyallah, sewaktu membaca dialog diatas hati saya menjadi getar. Sukar untuk saya menerangkan apa yang dirasa. Perasaan kagum yang amat sangat, dan betapa saya berharap perasaan kagum ini dapat saya manifestasikan dengan meneladani keperibadiaan mereka. Insyallah.

Seterusnya apa yang terjadi adalah seperti mana yang kita dengar melalui tazkirah dan kita baca melalui buku bahawa kemenangan perang badar telah berpihak kepada Rasulullah saw dan orang-orang Islam. Badar adalah peperangan pertama yang meletus serta peperangan yang memberi bukti yang sangat jelas bahawa keimanan yang ada dalam diri 313 para sahabat muhajirin dan ansar itu adalah sangat sangat solid dan jitu. Bahwasanya mereka adalah golongan yang benar-benar "dengar dan patuh" kepada perintah Rasulullah saw.



To be continued.

Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian  

No comments:

Post a Comment