Nov 19, 2012

Menerobos Diri Dalam Bayang Yang Sangat Hitam

Assalamualaikum wbt.
 
Bismilahirahmanirahim.
Subahanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
 
Setiap kita ada zaman lampau masing-masing. Kita yang kini adalah bagaimana kita bertindak terhadap zaman lampau kita.
 
Ada orang yang melalui zaman lampau penuh dengan dosa. Ada yang melalui zaman lampau sekadar menjadi manusia yang biasa-biasa, mendirikan solat, berpuasa, bersedekah atau berzakat tapi dalam kebiasaan meneruskan ibadah terselit sifat-sifat jahiliyah yang jarang disedari. Sebagai contoh bebas dalam pergaulan lelaki dan perempuan, membuang masa menonton televisyen dan cerita-cerita yang bercirikan keduniaan, mendengar lagu-lagu yang menjadikan kita lupa mengingati Allah, menonton rancangan-rancangan yang berunsurkan seksual (porno), boros dalam berbelanja, mengumpat orang lain seolah-olahnya kitalah yang paling hebat, membaca gosip-gosip artis lebih dari mengambil tahu tentang keadaan saudara-saudara kita di Palestin, Syria dan Rohingnya.

 
 
Adakah kita ini sudah cukup hebat?
Adakah kita ini terlalu yakin kita akan berada di syurga?
 
Kita ini sudah terlalu banyak memperlekehkan agama.
Kita sudah terlalu lama menjadikan agama sebagai  perkara remeh, sehingga kita lupa, akan tiba satu saat yang tiada siapa tahu, bila nyawa disentap dikerongkongan bagaimanakah kita sewaktu itu.
 
Mati!
Tidakkah kita tahu, bahawa kita semua akan mati!
Ramai yang tahu tentang mati, namun tidak ramai yang sedar akan situasi mati yang benar-benar mati.
 
Adakah kita melihat solat saja sudah mencukupi?
Adakah kita beranggapan bahawa membaca, memahami, menghafaz dan mengamalkan isi al-quran dan hadith itu sebagai satu benda yang amat berat untuk dilaksanakan.
 
Sebenarnya yang berat itu bukanlah al-quran dan hadith yang perlu diingat dan diamalkan akan tetapi yang berat itu adalah kemalasan yang dah lama bersarang di dalam rongga hati dan akal yang terlalu sempit memikirkan bahawa diri kita tidak mampu melakukannya.
 
Saya masih ingat dialog satu ketika dahulu sewaktu dalam usrah bersama Kak Ayat:
"Kak Ayat, saya tak boleh nak hafaz quran, benda lain saya boleh buat tapi menghafaz quran ni rasa macam berat sangat". Inilah lampau saya, kejahilan dan kebodohan dulu yang amat memalukan.
 
Jika sifat-sifat jahiliyah masih sebati dalam diri kita, itu bermakna solat dan amal yang kita lakukan masih belum baik untuk menjadi benteng dan perisai diri melawan hasutan syaitan terhadap perkara duniawi. Solat kita harus diperbaharui, amal kita harus diperkemaskan, al-quran dan hadith harus diingati dan diamalkan setiap satu. Perjalanan hidup kita ini harus bersifat spesifik terhadap akhirat dan bersederhana terhadap dunia.

Kerana itu, kita semua memerlukan hijrah. Melangkah hanya pada tapak yang membawa kita kepada kebaikan, kerana kebaikan adalah ibadah dan jalan bersama Allah. Kejahilan dan perkara yang mendatangkan dosa adalah jalan yang menyimpang sesat dari Allah.

Kisah lampau kita dan kita yang dulu-dulu adalah kita yang terperangkap dalam bayang yang sangat hitam. Hijrah atau mengubah kejahilan diri is the only way untuk keluar dari kegelapan yang kita sendiri cipta. Dan untuk berhijrah, kita perlu menerobos diri dalam bayang yang sangat gelap ini.



Kita tidak boleh menjadi manusia yang biasa-biasa. Hanya sekadar lega bersolat, tapi hidup masih lagi melakukan dosa kecil atau besar. Kita perlu ada misi baru, menjadi hamba Allah yang sangat merendah diri tapi amatlah luar biasa.

Mari kita lepaskan perkara-perkara dunia seperti kita meggunting tali layang-layang yang sudah tinggi ke awan. Layang-layang seperti perkara duniawi manakala tali samalah jua dengan diri kita. Menggunting tali layang-layang adalah simbolik dengan membebaskan diri kita dengan perkara-perkara dunia yang penuh alpa. Membebaskan diri dari terikat dengan kealpaan dunia samalah jua melafazkan ikrar bahawa kita akan terus berusaha menjadi hamba Allah yang luar biasa.

Saya adalah hamba Allah yang hina. Selama-lamanya saya seorang hamba, saya sedang meniti jalan hijrah yang penuh liku dan getir. Insyallah, selamanya saya akan bermati-matian berjuang menerobos bayang kejahilan yang ada dalam diri saya. Agar bayang yang sangat hitam itu akan pudar dan menjadi putih bersih.

Jazakillahu Khairan Kathira

Saya Hanya Seorang Hamba.
Nurul Damia Mohamad Sofian

Nov 9, 2012

The Unseen Future

Assalamualaikum wbt.
 
Bismillahirahmanirahim.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
 
Hidup kita bagaikan ranting pokok yang banyak cabangnya. Cabang kehidupan samalah juga dengan pilihan. 'A choice we made to live', begitulah pada sangkaan saya. Memilih untuk melakukan dosa atau menolaknya, memilih untuk berkahwin dengan A atau B, memilih untuk belajar atau bekerja. Semuanya adalah pilihan yang kita buat.
 
Kita takkan mampu melihat masa depan, barangkali Allah hanya membenarkan kita meneka masa depan dengan mengadakan perancangan. Kadang waktu, dalam merancang masa depan, kita terlalu gopoh dan menekan diri.
 
Cuba sekali, sahabat yang membaca pandang kelangit. Amatlah luas langit Allah. Begitulah sepatutnya cara kita berfikir. Membuat perancangan hidup dengan berfikiran seluas-luanya.
 
Jangan mengenepikan Allah ketika membuat perancangan hidup. Kerana untuk merancang, kita terlebih dahulu perlu berfikir, dan untuk berfikir kita perlukan pertimbangan yang menyeluruh dan meluas. Untuk itu hanya Allah sahaja yang dapat mengizinkan perkara ini berlaku.
 
 
 
Pokok punyai banyak cabang yang menjulang ke langit. Dalam kesemua cabang, hanya cabang utama sahaja yang benar-benar kuat dan kukuh. Cabang ini adalah cabang yang tumbuh asalnya dari akar ke batang lalu tumbuh meninggi ke atas membentuk cabang.
 
Cabang yang kuat adalah dari batang yang kuat. Manakala batang yang kuat adalah dari akar yang kuat.
 
Beginilah hidup kita.
 
Masa depan kita bagaikan cabang pokok, diri kita bagaikan batang pokok dan pergantungan kita bagaikan akar pokok.
 
Sekiranya pergantungan kita sewaktu merancang masa depan adalah Allah maka kita mendapat akar yang tersangat kuat. Ia harus bermula dengan akar. Jika kita mengukir masa depan hanya semata-mata mengejar kerjaya yang memberi pendapatan tinggi, pangkat dan nama, suami kaya, rumah besar, kereta mewah, isteri cantik, anak bijak, duit yang banyak untuk membeli itu dan ini maka kita sebenarnya sedang mengejar dunia.
 
Mengejar dunia yang 'fake' ini samalah juga seperti menuai akar yang rapuh.
 
Sahabat,
 
Menjalani kehidupan 'post-university' ini sangat banyak likunya. Kadang waktu wujud rasa menyesal dan bosan. Menyesal kerana tidak melakukan sehabis baik sewaktu belajar dahulu, dan bosan kerana menunggu kerja atau menunggu panggilan belajar.
 
Malah ada juga sahabat yang keliru dalam membuat perancangan. Belajar atau kerja. Syaitan mengajar manusia untuk melihat penyesalan sebagai satu inferioriti. Maksudnya, bila timbul rasa menyesal, kita mula negatif pada diri dan hilang keyakinan. Kita melihat jalan hanya pada satu arah dan terlalu narrow minded sewaktu membuat keputusan. Kita takut mencuba dan selesa dengan persekitaran yang biasa-biasa yang tiada cabaran. Akhirnya kita sendiri yang tidak matang. Inferioriti sebenarnya membantutkan kematangan kita.
 
 
Sebaliknya Allah mengajar kita melihat penyesalan sebagai satu jalan berubah. Penyesalan adalah jalan untuk membentuk diri yang superior dan positif. Kita yang sebegini, mampu melihat jalan dari pelbagai arah, takut untuk jatuh ke dalam lubang yang sama lantas kita membuat 'detour' atau memilih jalan lain. Kita pantang dicabar syaitan dan manusia, selagi matlamat kita berpaksikan Allah maka kita takkan menyerah.
 
Jangan kita hanyut dibuai penyesalan. Menyesal dengan itu dan ini. Menyesal dengan keputusan itu dan ini. Jadikan penyesalan sebagai alasan untuk berubah menjadi hamba Allah yang awesome!
 
Apabila diselubungi penyesalan, jangan kita hanyut bagaikan titanic. Dahulunya kapal gah yang dibangga-bangga, akhirnya jadi terumbu karang. Jangan sekali biarkan diri kita hanyut, kita mesti cepat-cepat sedar dan berbicara dengan Allah dengan spesifiknya.
 
Setiap cabang masa depan yang kita rancang haruslah untuk mendapatkan cinta dan redha Allah. Kita perlu menjadi hamba Allah yang ada matlamat, yang spesifik dan matang apabila berdoa. Terangkan pada Allah tentang apa yang terbuku dalam hati kita. Terangkan satu per satu, kerana hamba yang taat apabila ditanya, maka dia akan menceritakan satu per satu.
 
Kita harus mengisytiharkan perang dengan Syaitan, dan berakarkan Allah semata.
 
Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian