Nov 19, 2012

Menerobos Diri Dalam Bayang Yang Sangat Hitam

Assalamualaikum wbt.
 
Bismilahirahmanirahim.
Subahanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
 
Setiap kita ada zaman lampau masing-masing. Kita yang kini adalah bagaimana kita bertindak terhadap zaman lampau kita.
 
Ada orang yang melalui zaman lampau penuh dengan dosa. Ada yang melalui zaman lampau sekadar menjadi manusia yang biasa-biasa, mendirikan solat, berpuasa, bersedekah atau berzakat tapi dalam kebiasaan meneruskan ibadah terselit sifat-sifat jahiliyah yang jarang disedari. Sebagai contoh bebas dalam pergaulan lelaki dan perempuan, membuang masa menonton televisyen dan cerita-cerita yang bercirikan keduniaan, mendengar lagu-lagu yang menjadikan kita lupa mengingati Allah, menonton rancangan-rancangan yang berunsurkan seksual (porno), boros dalam berbelanja, mengumpat orang lain seolah-olahnya kitalah yang paling hebat, membaca gosip-gosip artis lebih dari mengambil tahu tentang keadaan saudara-saudara kita di Palestin, Syria dan Rohingnya.

 
 
Adakah kita ini sudah cukup hebat?
Adakah kita ini terlalu yakin kita akan berada di syurga?
 
Kita ini sudah terlalu banyak memperlekehkan agama.
Kita sudah terlalu lama menjadikan agama sebagai  perkara remeh, sehingga kita lupa, akan tiba satu saat yang tiada siapa tahu, bila nyawa disentap dikerongkongan bagaimanakah kita sewaktu itu.
 
Mati!
Tidakkah kita tahu, bahawa kita semua akan mati!
Ramai yang tahu tentang mati, namun tidak ramai yang sedar akan situasi mati yang benar-benar mati.
 
Adakah kita melihat solat saja sudah mencukupi?
Adakah kita beranggapan bahawa membaca, memahami, menghafaz dan mengamalkan isi al-quran dan hadith itu sebagai satu benda yang amat berat untuk dilaksanakan.
 
Sebenarnya yang berat itu bukanlah al-quran dan hadith yang perlu diingat dan diamalkan akan tetapi yang berat itu adalah kemalasan yang dah lama bersarang di dalam rongga hati dan akal yang terlalu sempit memikirkan bahawa diri kita tidak mampu melakukannya.
 
Saya masih ingat dialog satu ketika dahulu sewaktu dalam usrah bersama Kak Ayat:
"Kak Ayat, saya tak boleh nak hafaz quran, benda lain saya boleh buat tapi menghafaz quran ni rasa macam berat sangat". Inilah lampau saya, kejahilan dan kebodohan dulu yang amat memalukan.
 
Jika sifat-sifat jahiliyah masih sebati dalam diri kita, itu bermakna solat dan amal yang kita lakukan masih belum baik untuk menjadi benteng dan perisai diri melawan hasutan syaitan terhadap perkara duniawi. Solat kita harus diperbaharui, amal kita harus diperkemaskan, al-quran dan hadith harus diingati dan diamalkan setiap satu. Perjalanan hidup kita ini harus bersifat spesifik terhadap akhirat dan bersederhana terhadap dunia.

Kerana itu, kita semua memerlukan hijrah. Melangkah hanya pada tapak yang membawa kita kepada kebaikan, kerana kebaikan adalah ibadah dan jalan bersama Allah. Kejahilan dan perkara yang mendatangkan dosa adalah jalan yang menyimpang sesat dari Allah.

Kisah lampau kita dan kita yang dulu-dulu adalah kita yang terperangkap dalam bayang yang sangat hitam. Hijrah atau mengubah kejahilan diri is the only way untuk keluar dari kegelapan yang kita sendiri cipta. Dan untuk berhijrah, kita perlu menerobos diri dalam bayang yang sangat gelap ini.



Kita tidak boleh menjadi manusia yang biasa-biasa. Hanya sekadar lega bersolat, tapi hidup masih lagi melakukan dosa kecil atau besar. Kita perlu ada misi baru, menjadi hamba Allah yang sangat merendah diri tapi amatlah luar biasa.

Mari kita lepaskan perkara-perkara dunia seperti kita meggunting tali layang-layang yang sudah tinggi ke awan. Layang-layang seperti perkara duniawi manakala tali samalah jua dengan diri kita. Menggunting tali layang-layang adalah simbolik dengan membebaskan diri kita dengan perkara-perkara dunia yang penuh alpa. Membebaskan diri dari terikat dengan kealpaan dunia samalah jua melafazkan ikrar bahawa kita akan terus berusaha menjadi hamba Allah yang luar biasa.

Saya adalah hamba Allah yang hina. Selama-lamanya saya seorang hamba, saya sedang meniti jalan hijrah yang penuh liku dan getir. Insyallah, selamanya saya akan bermati-matian berjuang menerobos bayang kejahilan yang ada dalam diri saya. Agar bayang yang sangat hitam itu akan pudar dan menjadi putih bersih.

Jazakillahu Khairan Kathira

Saya Hanya Seorang Hamba.
Nurul Damia Mohamad Sofian

2 comments:

aimi said...

moga kita hijrah kepada yang lebih baik.. damia i miss u

Nurul Damia said...

miss u too aimi ihsan.

Post a Comment