Assalamualaikum wbt.
Bismillahirahmanirahim.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
Hidup kita bagaikan ranting pokok yang banyak cabangnya. Cabang kehidupan samalah juga dengan pilihan. 'A choice we made to live', begitulah pada sangkaan saya. Memilih untuk melakukan dosa atau menolaknya, memilih untuk berkahwin dengan A atau B, memilih untuk belajar atau bekerja. Semuanya adalah pilihan yang kita buat.
Kita takkan mampu melihat masa depan, barangkali Allah hanya membenarkan kita meneka masa depan dengan mengadakan perancangan. Kadang waktu, dalam merancang masa depan, kita terlalu gopoh dan menekan diri.
Cuba sekali, sahabat yang membaca pandang kelangit. Amatlah luas langit Allah. Begitulah sepatutnya cara kita berfikir. Membuat perancangan hidup dengan berfikiran seluas-luanya.
Jangan mengenepikan Allah ketika membuat perancangan hidup. Kerana untuk merancang, kita terlebih dahulu perlu berfikir, dan untuk berfikir kita perlukan pertimbangan yang menyeluruh dan meluas. Untuk itu hanya Allah sahaja yang dapat mengizinkan perkara ini berlaku.
Pokok punyai banyak cabang yang menjulang ke langit. Dalam kesemua cabang, hanya cabang utama sahaja yang benar-benar kuat dan kukuh. Cabang ini adalah cabang yang tumbuh asalnya dari akar ke batang lalu tumbuh meninggi ke atas membentuk cabang.
Cabang yang kuat adalah dari batang yang kuat. Manakala batang yang kuat adalah dari akar yang kuat.
Beginilah hidup kita.
Masa depan kita bagaikan cabang pokok, diri kita bagaikan batang pokok dan pergantungan kita bagaikan akar pokok.
Sekiranya pergantungan kita sewaktu merancang masa depan adalah Allah maka kita mendapat akar yang tersangat kuat. Ia harus bermula dengan akar. Jika kita mengukir masa depan hanya semata-mata mengejar kerjaya yang memberi pendapatan tinggi, pangkat dan nama, suami kaya, rumah besar, kereta mewah, isteri cantik, anak bijak, duit yang banyak untuk membeli itu dan ini maka kita sebenarnya sedang mengejar dunia.
Mengejar dunia yang 'fake' ini samalah juga seperti menuai akar yang rapuh.
Sahabat,
Menjalani kehidupan 'post-university' ini sangat banyak likunya. Kadang waktu wujud rasa menyesal dan bosan. Menyesal kerana tidak melakukan sehabis baik sewaktu belajar dahulu, dan bosan kerana menunggu kerja atau menunggu panggilan belajar.
Malah ada juga sahabat yang keliru dalam membuat perancangan. Belajar atau kerja. Syaitan mengajar manusia untuk melihat penyesalan sebagai satu inferioriti. Maksudnya, bila timbul rasa menyesal, kita mula negatif pada diri dan hilang keyakinan. Kita melihat jalan hanya pada satu arah dan terlalu narrow minded sewaktu membuat keputusan. Kita takut mencuba dan selesa dengan persekitaran yang biasa-biasa yang tiada cabaran. Akhirnya kita sendiri yang tidak matang. Inferioriti sebenarnya membantutkan kematangan kita.
Sebaliknya Allah mengajar kita melihat penyesalan sebagai satu jalan berubah. Penyesalan adalah jalan untuk membentuk diri yang superior dan positif. Kita yang sebegini, mampu melihat jalan dari pelbagai arah, takut untuk jatuh ke dalam lubang yang sama lantas kita membuat 'detour' atau memilih jalan lain. Kita pantang dicabar syaitan dan manusia, selagi matlamat kita berpaksikan Allah maka kita takkan menyerah.
Jangan kita hanyut dibuai penyesalan. Menyesal dengan itu dan ini. Menyesal dengan keputusan itu dan ini. Jadikan penyesalan sebagai alasan untuk berubah menjadi hamba Allah yang awesome!
Apabila diselubungi penyesalan, jangan kita hanyut bagaikan titanic. Dahulunya kapal gah yang dibangga-bangga, akhirnya jadi terumbu karang. Jangan sekali biarkan diri kita hanyut, kita mesti cepat-cepat sedar dan berbicara dengan Allah dengan spesifiknya.
Setiap cabang masa depan yang kita rancang haruslah untuk mendapatkan cinta dan redha Allah. Kita perlu menjadi hamba Allah yang ada matlamat, yang spesifik dan matang apabila berdoa. Terangkan pada Allah tentang apa yang terbuku dalam hati kita. Terangkan satu per satu, kerana hamba yang taat apabila ditanya, maka dia akan menceritakan satu per satu.
Kita harus mengisytiharkan perang dengan Syaitan, dan berakarkan Allah semata.
Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian
No comments:
Post a Comment