Feb 26, 2013

Dosa: Seperti Bebola Besi Yang Menghambat Kaki


Assalamualaikum wbt.
 
Bismillahirahmanirahim
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
 
Jumaat lepas sewaktu memandu, khusyuk saya mendengar slot Usrah di IKIM. Masyallah, banyak sekali input dan insight yang saya dapat. Saya cuba kongsikan sebanyak mana yang saya faham dari slot tersebut. Insyallah, semoga kita semua mendapat manfaat.
 
Sering kali kita berazam untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Kita ingin menjadi manusia yang cemerlang dari segala segi. Kita ingin berubah menjadi insan yang lebih baik. Kesimpulannya, sudah menjadi fitrah buat manusia untuk cenderung kepada kebaikan dan berusaha mencapai kebaikan tersebut.
 
Tapi dalam keinginan yang membuak-buak untuk mengubah diri ini, kita gagal berkali-kali sesudah beberapa attempt yang kita laksanakan untuk berubah. Seolah-olahnya kita tidak mampu mengekalkan rentak istiqomah atau consistent melakukan perubahan. Kita bersemangat di awalnya dan akhirnya kembali menjadi diri kita yang dahulu. Kadang waktu kita bagaikan hendak berputus-asa dalam melaksanakan perubahan diri. Segala usaha yang dibuat segalanya tak menjadi. Kita tertanya-tanya mengapa begitu susah untuk istiqomah dan consistent dengan perubahan yang telah kita niatkan ini? Bila sampai satu tahap kita berburuk sangka pada Allah. Seolah-olahnya kita merasakan Allah tidak ingin membantu kita dan membiarkan kita keseorangan dengan perasaan putus asa. Astagfirullah al azim.
 
Beginilah perit perjalanan sebagai seorang hamba. Namun, Mengapa perkara seperti ini berlaku sedangkan Allah itu Maha Penyayang?
 
Apa yang menghalang diri kita untuk terus maju dalam perubahan ini adalah dosa-dosa semalam yang masih menghambat kaki kita ke jurang gelap. Dosa yang semalam, dosa kelmarin, dosa minggu lepas, dosa tahun lepas apatah lagi dosa bertahun-tahun yang telah lalu. Dosa-dosa ini bagaikan rantai bebola besi yang menghambat kaki ke tanah dan menghalang kita dari terus maju mencapai kejayaan mengubah diri. Kaki kita dihambat penuh kuat, jikalau pun kita mampu melakukan 1 langkah ke depan, untuk langkah yang seterusnya akan menjadi begitu penat dan lelah. Sehinggalah kita berhenti dan tidak melangkah lagi. Kerana itulah kita gagal untuk istiqomah atau consistent dalam melakukan perubahan diri. Dosa yang menghambat kaki kita penuh kuat ke tanah menyebabkan kita lelah untuk terus maju.
 
 
Dosa. Baik kecil mahupun besar kedua-duanya seperti bebola besi. Semakin besar dosanya semakin besar saiz bebola besi, semakin kecil dosa semakin kecil saiz bebola besi. Dosa-dosa kecil adalah “silent killer”. Ia adalah dosa yang dipandang remeh, dan sering kali dilakukan tanpa disedari. Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Dosa-dosa kecil ini semakin bertambah dan bertambah tanpa kita sedari. Oleh itu dosa-dosa kecil ini menghasilkan bebola-bebola besi yang berangkai-rangkai dan melilit pada kaki kita. Akhirnya walaupun saiznya kecil, namun bebola-bebola besi yang berangkai ini menjadi semakin besar, semakin banyak dan semakin berat melilit pada kaki sehingga naik ke paha. Ini baru dosa kecil. Cuba kita bayangkan bagaimana parahnya sekiranya ianya adalah dosa-dosa besar. Astagfirullah al azim.
 
Sungguh lelah keadaan ini. Bagaimana ingin melangkah dalam keadaan diri terhambat sebegini kuat pada jurang dan lembah yang amat gelap? Bagaimana ingin melepaskan diri dari hambatan ini? Bagaimana untuk lari kearah cahaya perubahan dan selama-lamanya kekal berada dalam sinar kebaikan? Bagaimana mendapatkan Allah dalam situasi yang seperti ini? Bagaimana dan bagaimana?
 
Sahabat,
Jawapannya tiada yang lain, melainkan “Taubat yang nekad” serta “Taubat yang berkali-kali”.
 
Taubat. Maksud taubat itu perlu difahami dari dalam hati. Keinginan untuk kembali pada Allah haruslah kuat yang amat kuat dan keinginan itu haruslah ingin yang sangat ingin. Apabila kita punyai keinginan yang sebegini kuat, harus ingat, perlu ada nekad yang benar-benar nekad. Kata Ustaz sewaktu memberi penerangan:
 
“Harus ada nekad yang benar-benar nekad untuk tidak mahu melakukan dosa yang telah kita lakukan.”
 
“Aku betul-betul tidak mahu, Aku betul-betul tidak mahu melakukan dosa sebegini lagi.”
 
Dalam bertaubat, jangan cuba menduga diri dengan persoalan-persoalan “macam mana kalau aku buat lagi dosa ini?” atau “mampu ke aku mengubah diri?” atau “mampu ke aku meninggalkan dosa ini?” Apabila kita menduga diri atau dalam erti kata lainnya ‘tidak yakin’ atau ‘ragu-ragu’ itu bermaksud kita sememangnya masih tidak mahu meninggalkan dosa tersebut. Kita masih lagi ingin melakukan dosa tersebut. Maka sia-sia sajalah taubat kita.
 
Bila kita benar-benar tidak mahu melakukan dosa, keinginan itu perlu dikuatkan dari dalam hati. Lafazkan dalam hati bahawa kita tidak ingin sampai mati pun melakukan dosa tersebut! Usah ragu-ragu dan tidak yakin. Pohon pada Allah, agar Allah mengampuni segala dosa-dosa kita. Beritahu Allah bahawa kita benar-benar tidak mahu melakukan dosa tersebut. Pohon agar Allah bantu kita. Noktah! Jangan berfikir panjang sampai timbul perasaan yang ragu-ragu dan tidak yakin untuk meninggalkan dosa.
 
Dosa ini busuk. Busuk yang teramat. Maka tinggalkan sajalah, tidak perlu ragu-ragu dengan benda yang busuk. Manusia yang bijak tidak akan suka-suka membusukkan diri. Oleh itu tidak perlulah membusukkan diri dengan dosa.
 
Siapa kata manusia ini sempurna?
Siapa kata manusia ini setelah bertaubat, dia akan sempurna tanpa melakukan dosa sekali lagi?
 
Kita ini akan digoda syaitan dari segala sudut dan ceruk. Kita ini bukanlah Umar al Khattab yang apabila syaitan melihatnya pasti akan lari dan memilih jalan yang lain kerana takut.
 
Sesudah bertaubat, kita nekad untuk meninggalkan dosa A. Alhamdulillah dengan izin dan pertolongan Allah kita berjaya. Namun, dalam meniti hari-hari sebagai hamba Allah, kita terjerumus pula dengan dosa B dan ditambah pula dengan dosa-dosa kecil. Kerana itulah saya mengatakan taubat itu haruslah “taubat yang nekad” dan “taubat berkali-kali”.
 
Inilah solusinya.
 
Untuk membebaskan diri dari hambatan bebola-bebola besi tersebut, taubat adalah satu-satunya solusi atau kunci yang membuka rantaian bebola-bebola besi ini.
 
Allah sudah berjanji, bahawasanya Dia akan mengampuni segala dosa hamba yang bertaubat kepadaNya. Allah tidak pernah memungkiri janji. Jadi, apalagi yang mengahalang kita dari bertaubat? Sedang Allah itu sentiasa menunggu-nunggu taubat dari kita supaya Dia dapat mengampuni kita semua.
 
Sahabat, saya menasihatkan diri saya yang paling-paling utama.
 
Marilah berusaha mendapatkan Allah, menjadikan Allah begitu dekat dalam hati kita, membersihkan diri dari dosa-dosa semalam, maju kehadapan menjadi hamba, umat, anak, sahabat dan manusia yang terbaik.
 
Marilah kita berhijrah, menjadi yang lebih soleh dan solehah dari diri kita yang semalam. Menjadi yang lebih bermatlamat, menjadi yang lebih berusaha, menjadi yang lebih berdisiplin, menjadi yang lebih amanah.
 
Untuk mara kehadapan dengan langkah yang bebas dan senang marilah kita bertaubat terlebih dahulu. Menyesali segala macam dosa yang telah kita lakukan, nekad untuk meninggalkannya dan memohon keampunan Allah dengan sebenar-benarnya. Inilah taubat, dan taubat sahajalah yang dapat membebaskan kaki kita dari hambatan yang melelahkan. Agar setelah bebas, kita dapat mara kehadapan dengan pantas berlari dan penuh bergaya.
 
Untuk berubah, perlu ada taubat.
Dan untuk bertaubat, perlu ada nekad dan harus berkali-kali.
 
Moga Allah ampuni dosa-dosa kita yang lampau.
 
Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian

 

 

 

No comments:

Post a Comment