Apr 24, 2013

Dari Dalam Hati Seorang Hamba

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirahmanirahim.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Hari ini saya dirundung pelbagai perasaan. Sedih dan helpless itulah yang saya rasa. Saya melewati beberapa laman web yang menceritakan tentang perkembangan masyarakat Islam Rohingnya di Myanmar. Masyallah, "hasbi allahu wa ni'mal wakil" tiadalah sebaik-baik pelindung dan penyelamat melainkan Allah.

Sahabat,

Hari ini saya bangkit dari tidur, saya bersyukur kerana Allah meniupkan angin ketenangan dalam hati saya. Saya mampu ke tandas, saya mampu berwudhu' dan solat. Saya diizinkan Allah untuk bergerak, saya dapat membaca dengan mata yang Allah berikan, saya mampu mendengar alunan zikir dari masjid berdekatan rumah, saya dilebihkan dengan makanan yang sedap-sedap pagi ini. Ya Allah syukur, syukur, syukur. Alhmadulillah.


Namun, bagaimana keadaan saudara-saudara saya di palestin? di syria? di rohingnya? di somalia? bagaimana mereka semua? Lantas kerana ingin mengetahui bagaimanakah situasi mereka, saya cepat-cepat melayari internet dan mencari perkembangan terkini saudara-saudara saya di bumi Allah yang jaun dari Malaysia ini. Pencarian saya bermula dengan saudara-saudara saya di bumi myanmar di sebuah kawasan bernama rohingnya.

Hati saya bagai dicincang-cincang dengan parang. Melihatkan perkembangan mereka yang terkini. Di bunuh beramai-ramai sekali lagi setelah isu rohingnya ini dibangkitkan pada tahun 2012, dan sekali lagi saudara  saya di Rohingnya di bunuh walau seluruh dunia telah mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan ini. Di rogol kemudian di dera sampai mati, adik-adik yang masih kecil diikat dan dibakar hidup-hidup bersama rumah mereka. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.

Dimanakah letaknya akal manusia?

Air mata saya menitis, mulanya perlahan kemudian makin menjadi deras. Kerana amat sedih dan sayu, saya seolah-olah tidak mampu lagi untuk melihat perkembangan saudara-saudara saya yang lain di Palestin, Syria dan Somalia.

Seolah-olah ruang masa menjadi beku dan kosong.

Sejurus selepas habis membaca, saya bertanya pada diri. Dimanakah saya ketika mereka benar-benar memerlukan bantuan? Ketika rumah mereka dibakar, dimanakah saya ketika itu? ketika kakak-kakak saya dirogol dimanakah saya ketika itu? ketika ibu-ibu dan ayah-ayah dibunuh dihadapan anak-anak mereka dimanakah saya ketika itu? ketika mereka berlapar kenyangkah saya ketika itu? ketika mereka menangis adakah saya seronok tertawa ketika itu? ketika mereka ketakutan adakah saya tenang ketika itu?

Allahuakbar. "Inna lillahi wainna ilahi rajiun"

Hari ini dengan ketenangan yang kita kecapi, bersyukurlah. Alhamdulillah. Janganlah saya mahupun rakan semua lupa pada saudara-saudara kita di Rohingnya sana. 

Antara perkara yang boleh kita laksanakan sekarang adalah sentiasa melihat perkembangan mereka walau dari jauh. Dalam solat fardhu dan sunat jangan lupa untuk mendoakan mereka. Kirimkan qunut nazilah, sebagai meminta bantuan kepada Allah untuk menyelamatkan mereka. Berinfaq untuk keperluan seharian mereka. Sahabat boleh berinfaq buat masyarakat Rohingnya melalui Islamic Relief Malaysia atau Muslim Aid Malaysia.

Satu cara mudah saya kongsikan, bagaimana kita dapat memaksimumkan infaq kita dengan melibatkan orang sekeliling. Awal tahun ini sewaktu Gaza diserang saya meminta setiap ahli keluarga menyumbangkan setakat mana yang mereka mampu di dalam tabung yang telah saya sediakan. Alhamdulillah semua ahli keluarga saya, makcik-makcik, pakcik-pakcik dan nenek saya mengambil bahagian. Nilai wang yang telah berjaya dikumpulkan  amat besar. Alhamdulillah. Lantas, saya terus mendepositkan wang tersebut kepada Aqsa Syarif badan bukan kerajaan di bawah Ikram yang menguruskan sumbangan rakyat Malaysia ke Gaza.

Mungkin sahabat juga boleh berbuat demikian. Kalau bukan dengan ahli keluarga, mungkin dengan kawan sekeliling atau sebilik. Mungkin dengan adik-beradik atau mungkin juga dengan teman-teman usrah. 

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 265:

"Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari redha Allah dan untuk meneguhkan jiwa mereka kepada Allah, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disirami hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat gandanya. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun pun sudah memadai untuknya. Allah maha melihat apa yang kamu kerjakan"

Al Baqarah 267:
"Wahai orang-orang yang beriman! Infakkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari harta serta nikmat dari bumi yang dikurniakan untukmu daripada Allah. Janganlah kamu memilih (memberi) yang buruk untuk diinfakkan, padahal kamu sendiri tidak suka kepadanya. Dan ketahuilah Allah maha kaya lagi maha terpuji.

Kadang waktu, ada diantara kita sering memberi sumbangan pakaian yang sudah terkoyak ataupun rosak. Sesetengah kita apabila memberi sumbangan makanan kita membeli makanan pack yang paling murah yang kurang zat dan nutrisi. Ada dua jenis infak memberi ala kadar atau memberi yang terbaik. Dalam ayat diatas, Allah menegur kita semua supaya infak yang dikeluarkan haruslah yang baik-baik, bukanlah yang ala kadar.

Al Baqarah 268:
"Syaitan menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu kikir (kedekut/menahan diri dari berinfak), sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurniaNya yang melimpah ruah kepadamu. Allah maha luas lagi maha mengetahui."
Berilah setakat kemampuan kita. Tapi jangan langsung menahan diri dengan tidak berinfaq kerana takut duit atau keperluan kita tidak cukup. Apabila kita merasakan yang sedemikian, syaitan sebenarnya telah berjaya mempengaruhi kita. Kerana dalam ayat diatas telah Allah jelaskan setiap apa yang diinfakkan tidak akan rugi dan sia-sia. Sebaliknya pengetahuan Allah itu maha luas, Allah benar-benar tahu bagaimanakah situasi kewangan dan keperluan kita, Allah telah berjanji untuk memberikan kita keampunan dan kurnia yang melimpah ruah sekiranya kita berinfak walau dalam keadaan kita juga amat memerlukan.

Beginilah caranya kita dapat meneladani sahabat ansar RA. Melebihkan keperluan orang lain daripada diri sendiri.

Al Baqarah 273:

"Apa yang kamu infakkan adalah untuk orang-orang fakir yang terhalang usahanya kerana jihad di jalan Allah. Sehingga mereka tidak dapat berusaha (mencari rezeki untuk keperluan diri) di bumi Allah. Orang-orang lain yang tidak mengetahui, menyangka bahawa mereka adalah orang-orang kaya (orang-orang senang) kerana mereka menjaga diri dari sifat meminta-minta. Engkau (Muhammad) mengenal mereka dengan ciri-ciri mereka yang tidak meminta-minta secara paksa kepada orang lain. Apapun harta yang terbaik yang kamu infakkan, sungguh Allah maha mengetahui."
Saya meraskan Allah memberi penerangan yang amat jelas dalam ayat diatas. Buat saudara-saudara kita di palestin, syria dan rohingnya, kerana berhadapan dengan jihad menentang golongan kafir yang ingin menghancurkan masyarakat Islam serta berjihad melindungi kaum wanita dan kanak-kanak mereka terhalang dari keluar bekerja mencari rezeki. Kerana keselamatan yang tidak dapat diduga. Lantas Allah menyuruh kita untuk berinfak kepada mereka dengan harta, tenaga dan segala yang kita ada untuk membantu mereka dan menunjukkan solidariti kita sebagai satu ummah.

Segala apa yang kita berikan Allah maha mengetahui nilainya. Dan Allah sajalah sebaik-baik pemberi balasan.

Mari kita berikan apa yang kita ada. Jika buntu tidak tahu kemana hendak di salur barang bantuan (pakaian, makanan, buku, kasut ataupun wang ringgit) anda boleh melawat:


  1. http://www.ikram.org.my/v2/ 
  2. http://aqsasyarif.org.my/v3/ 
  3. http://islamic-relief.org.my/ .

Hidup untuk memberi.

Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian

Apr 21, 2013

Meneladani Sahabat Ansar (RA)

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirahmanirahim
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar

Rasulullah saw berpesan sewaktu haji wida'
"Hendaklah kalian yang mendengar pada hari ini, berpesan-pesan kepada sahabat yang tidak hadir. Boleh jadi mereka yang mendengar dari kalian lebih memahami pesananku daripada mereka yang mendengar terus dariku"
Pesanan ini adalah pesanan terakhir yang telah rasulullah saw sampaikan sebagai penutup siri-siri khutbah semasa haji wida'. Kepentingan berpesan-pesan serta menyampaikan semula apa yang telah kita dengar.

Semalam saya menghadiri satu ceramah oleh Sheikh Habib Zainal di Masjid Al-Ansar, Dato' Keramat. Tajuk ceramahnya sama seperti nama masjidnya. "Meneladani Sahabat Ansar".


Sewaktu saya membaca sebuah buku yang menceritakan perjalanan hidup dan dakwah rasulullah saw, saya tidak putus-putus mengagumi keperibadian sahabat-sahabat ansar. Masyallah, mereka ini sangat-sangat menakjubkan.

Memang benar kata Sheikh Habib Zainal, rasulullah saw sangat mencintai orang-orang Ansar. Sewaktu keadaan di Mekah menjadi genting, masyarakat kafir quraisy begitu terdesak untuk menghentikan dakwah rasulullah. Melihatkan sekutu terkuat mereka seperi Saidina Hamzah dan Umar Al Khatab sudah memeluk Islam mereka menjadi mati akal dan semakin marah dengan rasulullah saw. 

Rasulullah saw dan para sahabat diboikot habis-habisan. Masyarakat mekah dilarang mengahwini wanita-wanita bani hashim, dilarang berjual-beli dengan mereka. keadaan menjadi sangat genting, dan kepayahan yang dirasai oleh baginda saw serta keluarga amat berat dan memilukan.

Ketika dalam kepayahan inilah Allah memberikan berita gembira kepada rasulullah saw dengan kedatangan sekumpulan orang-orang Ansar yang terdiri daripada bani Aus dan bani Khazraj datang membaiah rasulullah dalam satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Aqabah pertama. Setelah itu, menyusul perjanjian Aqabah kedua dengan masyarakat Ansar yang datang membaiah rasulullah adalah dalam jumlah yang lebih besar dari kelompok pertama yang hadir.

Sewaktu masyarakat mekah menolak rasulullah saw habis-habisan. Mendera sahabat-sahabat baginda, mencaci baginda, menyakiti emosi dan fizikal baginda, memboikot kaum keluarga baginda. Kaum ansar datang ,memberi jaminan perlindungan kepada rasulullah saw serta kepada seluruh ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Baginda dihalau dari mekah oleh kaumnya sendiri. Malahan orang-orang kafir quraisy ini sampai merancang untuk membunuh baginda. Sebaliknya kaum Ansar yang tidak pernah rasulullah kenal ini datang membaiah dan memberi jaminan keselamatan kepada rasulullah saw, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Rasulullah sering memuji masyarakat Ansar, bukan sahaja rasulullah, malah kaum Ansar ini seluruhnya mendapat mandat dan pujian dari Allah seperti yang tercatat di dalam Al-quran Al Hashr ayat 9:

"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya"

Sebelum meletusnya perang Badar, ada satu peristiwa yang sangat signifikan untuk kita renungi dan mengambil teladan darinya. Tujuan asal rasulullah saw bersama 313 sahabat muhajirin dan ansar yang keluar dari madinah adalah untuk menghentikan rombongan dagang Abu Sufyan dan mengambil semula harta hak milik orang islam muhajirin yang dirampas dan didagangkan oleh kafir quraisy melalui rombongan dagang Abu Sufyan.

Tujuan asal ini bukanlah berniat untuk menyemarakkan api peperangan antara kedua belah pihak. Sebaliknya Rasulullah saw berniat mengambil semula apa yang sudah menjadi hak para sahabat muhajirin. Namun, ternyata Abu Sufyan menjadi takut setelah mengetahui bahawa Muhammad saw bersama para sahabatnya sedang menunggu rombongan dagangnya. Abu Sufyan mengirim seorang utusan menyampaikan berita yang sedang berlaku ini kepada penduduk mekah supaya mereka mengirim bantuan.

Tidak dapat disangka oleh Abu Sufyan bantuan yang datang adalah sangat banyak, malahan Abu Jahal sendiri mengisytiharkan bantuan yang datang adalah berniat untuk berperang dengan rombongan rasulullah saw.

Keadaan menjadi sangat genting. Berita pengisytiharan perang oleh rombongan bantuan quraisy mekah telah sampai kepada rasulullah. Lantas Rasulullah segera mengumpulkan semua sahabat Ansar dan Muhajirin untuk meminta pendapat dari mereka.

Inilah antara dialog-dialog yang berlaku semasa perjumpaan Rasulullah saw bersama sahabat muhajirin dan ansar sebelum meletusnya perang:

"Wahai manusia berilah pandangan kepadaku" kata Rasulullah
Abu bakar, Umar dan Miqdad antara yang terawal bangun menyatakan pandangan dan persetujuan mereka untuk berperang.

"Wahai manusia berilah pandangan kepadaku" kata Rasulullah sekali lagi

Maka bangkitlah Saad B Muadh pembawa bendera bagi kaum ansar, sambil berkata "Demi Allah, seperti engkau mengharapkan pandangan dan jawapan daripada kami golongan ansar."

"Benar" Jawab baginda saw.

Kata Saad B Muadh "Boleh jadi engkau bimbang orang-orang ansar berpandangan mereka berhak untuk tidak membantumu kecuali di kawasan kampung halaman mereka sahaja. Sebagai mewakili orang-orang ansar aku nyatakan kepadamu: Pergilah kemana yang kamu suka, hubungilah siapa yang kamu suka, putuslah hubungan dengan siapa yang kamu suka, ambillah harta kami sebanyak mana yang kamu suka dan berilah kepada kami sebanyak mana yang kamu suka, tetapi kami lebih suka engkau mengambil daripada kami  berbanding engkau meninggalkannya untuk kami. Apa sahaja yang diperintahkan Allah kepadamu wahai rasulullah, maka urusan kami tetap mengikut perintahmu itu. Sungguh kami telah beriman denganmu dan kami membenarkan kenabianmu. Kami mempersaksikan bahawa apa yang engkau bawa adalah benar. Untuk itu kami telah memberikan perjanjian kami untuk dengar dan patuh. Wahai rasulullah, teruskan hasratmu. Demi Allah yang mengutuskan kamu dengan kebenaran, jikalau engkau membawa kami kepada lautan lalu engkau harunginya, nescaya kami akan mengharunginya bersamamu, tidak seorang jua pun daripada kami yang akan ketinggalan. Demi Allah jika engkau bergerak sehingga sampai ke Bark al Ghimad nescaya kami akan bergerak maju bersamamu. Kami tidak akan membenci sekiranya kamu membawa kami bertemu musuh-musuh kita besok hari. Sesungguhnya kami ini orang yang cekal dalam peperangan dan benar dalam pertemuan. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kepadamu tentang diri kami yang dapat mententeramkan engkau. Maka silalah bergerak bersama-sama kami di atas keberkatan Allah, wahai rasulullah."

Lantas Rasulullah saw menjadi sangat gembira mendengar kata-kata Saad serta melihat kesungguhannya dan orang-orang ansar.

Masyallah, sewaktu membaca dialog diatas hati saya menjadi getar. Sukar untuk saya menerangkan apa yang dirasa. Perasaan kagum yang amat sangat, dan betapa saya berharap perasaan kagum ini dapat saya manifestasikan dengan meneladani keperibadiaan mereka. Insyallah.

Seterusnya apa yang terjadi adalah seperti mana yang kita dengar melalui tazkirah dan kita baca melalui buku bahawa kemenangan perang badar telah berpihak kepada Rasulullah saw dan orang-orang Islam. Badar adalah peperangan pertama yang meletus serta peperangan yang memberi bukti yang sangat jelas bahawa keimanan yang ada dalam diri 313 para sahabat muhajirin dan ansar itu adalah sangat sangat solid dan jitu. Bahwasanya mereka adalah golongan yang benar-benar "dengar dan patuh" kepada perintah Rasulullah saw.



To be continued.

Saya Hanya Seorang Hamba
Nurul Damia Mohamad Sofian